Pemain baru Chelsea, Pedro meledak gol pada penampilan sulungnya bersama juara EPL itu yang mencatat kemenangan sukar 3-2 ke atas West Bromwich Albion di The Hawthorns, sebentar tadi.
Ia kemenangan pertama Chelsea pada musim ini selepas sekadar mengutip satu mata daripada dua perlawanan termasuk ketika kekalahan 3-0 ke atas Manchester City, minggu lalu.
Begitupun, Chelsea harus berterima kasih kepada penyerang West Brom, James Morrison yang gagal menyempurnakan penalti pada awal perlawanan sebelum Pedro yang dibeli dari Barcelona meledak gol pertama permainan pada minit ke-20.
Kelebihan Chelsea kemudian digandakan penyerang, Diego Costa pada minit ke-30 sebelum Morrison merapatkan jurang, lima minit kemudian.
Beraksi dalam keadaan hujan, Chelsea kemudian meledak gol ketiga menerusi Cesar Azpilicueta, tiga minit sebelum babak pertama berakhir dengan drama di babak kedua menjadi semakin menarik.
Ketika permainan memasuki minit ke-55, Chelsea terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pertahanan veteran, John Terry diarah keluar padang kerana mengasari Salomon Rondon di luar kotak penalti.
Chelsea kemudian jelas tertekan dan hasilnya West Brom menambah jaringan juga menerusi Morrison pada minit ke-59.
Sekalipun serangan bertali arus dijana West Brom, semuanya gagal menerjah gawang untuk Chelsea kekal membawa pulang tiga mata penuh.