Sedar bahawa Piala Malaysia bukan calang-calang kejuaraan, pengendali Pahang, Dollah Salleh berkata, pasukannya telah melakukan persediaan awal untuk mengelak daripada tersingkir di peringkat kumpulan.

Kata Dollah, diundi dalam Kumpulan D bersama Selangor, T-Team dan Sarawak memaksa mereka melakukan persiapan lebih rapi, biarpun mengakui sedikit lega kerana terlepas daripada undian maut Kumpulan B.

Skuad Tok Gajah akan memulakan kempen Piala Malaysia dengan menerima kunjungan pasukan jiran, T-Team di Stadium Darul Makmur esok.

“Persiapan awal sangat penting namun saya berasa sedikit lega kerana tidak diundi dalam Kumpulan B yang dihuni beberapa pasukan hebat seperti Kelantan dan Terengganu,” katanya ketika ditemui media baru-baru ini.

Tambah Dollah, Pahang berada dalam semangat tinggi selepas berjaya kembali ke Liga Super tahun depan dengan menumpaskan Kedah menerusi penentuan sepakan penalti dalam saingan playoff.

Katanya, Selangor mungkin mampu menjadi masalah terbesar dalam Kumpulan D, apatah gergasi Lembah Klang itu dianggap sebagai musuh tradisi mereka pada era 80an dan 90an. Kedua-dua pasukan pernah bertemu empat kali di final.

Pahang pernah muncul juara Piala Malaysia dua kali pada tahun 1983 dan 1992, manakala naib juara pula sebanyak empat kali 1984, 1994, 1995 dan 1997.

Mereka bakal meletakkan harapan besar kepada pemain kebangsaan, Mohd. Azamuddin Md. Akil, Mohd. Hafiz Kamal, Mohd. Saifulnizam Miswan dan pemain import, Maycon Carvalho Inez.




coded by nessus

Leave a Reply