Ketua pasukan dan tonggak pertahanan Tok Gajah, Jalaluddin Jaafar percaya, derita yang ditanggungnya sejak 16 tahun lalu sudah berakhir apabila dia berjaya menghadiahkan kejuaraan buat Pahang dengan membenam Kelantan 1-0.

Pada 1997, Jalaluddin yang lebih mesra disapa Abang Jalal berjaya membawa Tok Gajah melangkah ke final, namun dikecewakan dengan kekalahan 1-0 kepada Selangor.

”Akhirnya impian saya untuk menjulang Piala Malaysia tercapai selepas gagal melakukannya pada 16 tahun lalu.

”Mungkin ini akan menjadi hadiah persaraan kepada pasukan Pahang dan saya rasa tidak akan beraksi lagi pada musim hadapan, namun terpulang kepada kehendak pihak pengurusan,” katanya.

Bagi bintang penyerang Pahang, Matias Conti pula, semua pemain Tok Gajah wajar menerima pujian atas kejayaan menjulang Piala Malaysia biarpun dia yang dijulang sebagai wira kerana mencetak gol kemenangan.

Dalam perlawanan yang disaksikan hampir 85,000 penonton di Stadium Shah Alam itu, Conti menanduk cantik hantaran silang Mohd. Azamuddin Akil pada minit ke-58 untuk menceriakan kira-kira 40,000 penyokong Tok Gajah.

”Walaupun saya menjaringkan gol, tetapi saya rasa semua pasukan telah beraksi dengan cemerlang dan kami berhak untuk menang.

”Kehadiran penyokong Pahang malam ini sememangnya menyemarakkan semangat saya,” ujar bintang muda dari Argentina itu.

Sementara itu bagi penjaga gol muda, Mohd. Khairul Azhan Mohd. Khalid, kemenangan ini adalah hadiah paling bermakna buatnya yang bakal menyambut ulang tahun ke-24 pada 27 November ini.

Malah, kemenangan itu juga melengkapkan musim cemerlang buat pemain yang lebih mesra disapa Yan itu, kerana dia sekadar memainkan peranan sebagai penjaga gol ketiga pada awal musim, tetapi ‘dinaikkan pangkat’ pada April lalu ekoran kecederaan yang dialami dua penjaga gol utama.

”Tidak jangka boleh menjadi juara, ini boleh sebagai hadiah hari jadi saya pada 7 November ini.

”Ini permulaan yang baik kepada karier permulaan saya bersama Pahang dan puas kerana pada musim pertama, saya dapat piala.

”Saya bernasib baik dapat menyelamatkan beberapa percubaan tetapi dalam masa sama pertahanan kami beraksi dengan baik,” katanya.

— Utusan




coded by nessus

Leave a Reply