Ketika sambutan Aidilfitri masih dirasai, penjaga gol kebangsaan dan Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat sudah berdepan jadual yang padat apabila bakal membantu negeri kelahirannya beraksi dalam saingan Piala Malaysia dan Piala AFC.
Pemain yang terkenal dengan gelaran Apek itu juga bakal membarisi skuad Malaysia pada Piala Suzuki AFF, November depan dan dia perlu memberikan aksi terbaik untuk mempertahankan piala yang dimenangi dua tahun lalu.
Menurut Khairul Fahmi, selepas membantu Kelantan memenangi Liga Super dan Piala FA, dia memikul tugas berat untuk memastikan The Red Warriors menjulang satu lagi kejuaraan berprestij, Piala Malaysia.
Begitupun cabaran mereka tidak mudah apabila diletak dalam kumpulan maut bersama Terengganu, Kedah dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Saya tidak boleh fikir tentang semua perlawanan serentak, saya perlu menghadapi satu-persatu perlawanan dengan baik. Saya akan cuba yang terbaik dalam Piala Malaysia tetapi dalam perlawanan bola sepak apa sahaja boleh berlaku.
“Dalam Piala AFC pula, memasuki suku akhir semua pasukan sangat mantap, terutama dari kelab Asia Barat tetapi saya janji akan beri yang terbaik,” katanya.
Kelantan akan memulakan kempen dengan bertandang ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah esok untuk menentang Terengganu.
Ketika Piala Malaysia sedang hangat berlangsung, dia harus membantu Kelantan mengharungi suku akhir Piala AFC menentang kelab Iraq, Arbil dengan perlawanan pertama dijadual berlangsung pada 18 September di Stadium Hariri Franso.
Suku akhir kedua pula akan diadakan pada 25 September di Sultan Mohammad IV Stadium.
“Bagi Piala AFC, saya harap penyokong faham ini kali pertama Kelantan beraksi dalam kejohanan tersebut dan terus mara sehingga ke suku akhir, jadi kami akan cuba yang terbaik untuk melakukan kejutan mara ke separuh akhir pula,” katanya lagi.
Khairul Fahmi juga mengakui bahawa aksi persahabatan menentang kelab Liga Perdana Inggeris adalah persiapan terbaik walaupun dia hanya beraksi sebagai gantian ketika Malaysia tewas 1-3 kepada Manchester City, Julai lalu.
Dalam perlawanan persahabatan di antara Kelantan menentang QPR pula dia tidak beraksi kerana mengalami kecederaan.
“Begitupun sekarang saya sudah bebas daripada kecederaan dan sedia diturunkan.”
Related posts
- Final: Tangisan kegembiraan Tengku Abdul Rahman
- Kelantan vs Kedah [25 Ogos 2012]
- Final: Derita 16 tahun Abang Jalal berakhir
- Terengganu vs Kelantan [22 Ogos 2012]
- ATM vs Kelantan [28 Ogos 2012]
- Final: Saya macam dalam mimpi - Azamuddin Akil
- Final: Tabik Tok Gajah
- Pahang Juara Piala Malaysia 2013
- Final: Gelombang merah, kuning di Stadium Shah Alam