Anak buah Azraai Khor suka dalam duka
FINALIS musim lalu yang juga juara 2009, Negeri Sembilan terpaksa membayar harga mahal sebelum memastikan tiga mata milik mereka pada aksi pembukaan Kumpulan B Piala Malaysia 2011 dengan menewaskan PKNS 2-1 di Stadium MBPJ, malam tadi.
Biarpun menang 2-1, mereka kehilangan penjaga gol utama, Mohd Farizal Marlias yang dilayangkan kad merah kerana menjatuhkan pemain tuan rumah, Mohd Ashidi Dilashari pada minit ke-53 di luar petak penalti.
Namun tuan rumah yang dibimbing Abdul Rahman Ibrahim gagal menyudahkan sepakan percuma yang diberikan pengadil Mohd Zamzaidi Khatimin sejurus kemudian.
Skuad pelawat pula menarik nafas lega kerana berjaya mengekalkan kedudukan dan tiga mata berharga itu hasil jaringan Hairuddin Omar dan Shahurain Abu Samah masing-masing pada minit ke-14 dan ke-44.
Tuan rumah, PKNS mengejutkan Negeri Sembilan dengan membuka tirai gol menerusi jaringan Mohd Norhafiszuan Jailani yang memanfaat gawang pelawat yang terbuka.
Pemain berjersi nombor 17 itu menjaringkan gol pada seawal minit ketujuh menerusi tendangan lambung setelah penjaga gol, negeri sembilan, Mohd. Farizal Marlias keluar jauh dari pintu golnya untuk menumbuk percubaan awal lawan.
Negeri Sembilan bagaimanapun tidak berputus asa untuk menyamakan kedudukan apabila penyerang, Hairuddin Omar terlajak untuk menyambut bola yang melintas di hadapan pintu gol tuan rumah hasil umpanan dari sebelah kanan.
Permainan kemudiannya cuba dikuasai anak buah Azraai Khor Abdullah sehingga minit ke-14 menyaksikan gol yang dicari-cari menjelma daripada sepakan percuma jarak jauh oleh ketua pasukan, Muhamad Shukor Adan.
Hairuddin menebus kehampaan awal itu dengan menanduk tajam hantaran Shukor lalu menerjah ke sudut kiri gol PKNS.
Permainan kemudian menjadi agak hambar apabila kurangnya cubaan merbahaya disasarkan ke gawang lawan dan keadaan itu berterusan selama hampir setengah jam.
Skuad Rusa menemui gol dan menghampiri tiga mata yang diburu menerusi rembatan cantik Shahurain Abu Samah setelah mendapat hantaran jauh dari sebelah kanan untuk menjadikan kedudukan berpihak kepada pelawat 2-1.
September 10, 2011 - 9:16 am
author yang same ke? http://kakibangku.net/2011/09/07/negeri-sembilan-hilang-penjaga-gol-utama/