Skuad utama: Rajagobal tak pilih kasih
PENGENDALI skuad bola sepak kebangsaan, Datuk K. Rajagobal tidak pernah mengamalkan sikap pilih kasih dalam menyenarai pemain untuk membarisi Harimau Malaysia.
Sebaliknya, Rajagobal sentiasa bersikap profesional bagi memastikan skuad yang dibentuknya mampu menghadirkan gerun dalam kalangan pasukan lawan.
Justeru, Rajagobal telah memanggil beberapa muka baharu bagi menjalani kem latihan yang bermula Isnin lalu, antaranya Syazwan Yusoff, Fauzan Dzulkifli dan Veniche Elphi.
“Bagi melengkapkan satu pasukan yang sempurna dalam tempoh satu atau dua hari, ia sukar bagi mana-mana jurulatih.
“Jadi saya mahu memberikan peluang kepada pemain-pemain baharu ini untuk mengisi kekosongan dan peluang ini adalah medan untuk mereka membuktikan keupayaan bersama skuad kebangsaan.
“Saya berharap mereka mampu berikan sesuatu kepada pasukan kebangsaan menjelang pertemuan menentang Kelantan malam esok (hari ini),” kata Rajagobal.
Sebagai ujian pertama, skuad Harimau Malaya dijadualkan menentang Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.
Bagi Rajagobal, pertemuan dengan skuad kendalian Peter James Butler itu lebih kepada melihat keupayaan dan keserasian pemain baharu bersama barisan sedia ada.
Selain mahu mencari ‘ramuan’ baharu, Rajagobal turut menganggap aksi malam ini sebagai salah satu persiapan bagi menghadapi kempen Piala Suzuki AFF pada November depan.
“Perlawanan menentang Kelantan boleh dianggap sebagai salah satu persiapan kita menjelang Piala Suzuki AFF di mana Malaysia dan Thailand diumumkan sebagai penganjur bersama untuk kejohanan kali ini.
“Saya mahu menggunakan masa dan peluang yang sedia ada (untuk memilih beberapa muka baharu) bagi menyarung jersi skuad kebangsaan,” katanya.
Skuad Harimau Malaya dijadual mengadakan perlawanan persahabatan menentang Arab Saudi pada 24 Februari di Australia dan menentang Filipina lima hari kemudian. — Kosmo
Luahan Perasaan