BIARPUN impian melihat pasukan bola sepak kebangsaan beraksi di pentas Piala Dunia 2014 masih jauh, tiada mustahil andai anak didik Datuk K Rajagobal tekad mengembalikan martabat bola sepak di arena antarabangsa.
Skuad Harimau Malaya bakal membuat perseteruan dengan Chinese Taipei menjelang perlawanan pusingan pertama kelayakan Piala Dunia Zon Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.
Jika diamati pencapaian skuad kebangsaan tahun ini, mereka belum pernah ditewaskan dalam mana-mana perlawanan berprofil tinggi selepas menjuarai Piala Suzuki AFF, Disember lalu.
Bermula aksi persahabatan mengalahkan Hong Kong dengan jaringan 2-0 pada 9 Februari lalu dan diikat 1-1 pada aksi ulangan di Siu Sai Wan Sports, termasuk meratah Myanmar (2-0) di Kota Bharu, baru-baru ini.
Namun, ia tidak boleh dijadikan pengukur sejauh mana kekuatan pasukan kebangsaan kerana senario pasti berbeza apabila bermain dalam perlawanan sebenar berbanding perlawanan persahabatan sebelum ini.
Walaupun dianggap tugas mudah tatkala berdepan pasukan penghuni ranking 160 dunia, pemain negara diingatkan tidak memandang enteng kewibawaan skuad kendalian Chih-Tsung Lo itu.
Kelibat penyerang sensasi NSTC, Chang Wa perlu diawasi bentang pertahanan kerana pemain itu amat berbahaya khususnya dalam perebutan bola tinggi dalam kotak penalti.
Chang yang juga bekas pemain Taipei Tatung juga meledak satu gol semasa pasukannya tewas 1-2 kepada Korea Utara pada kejohanan Bola Sepak Asia Timur 2010.
Berdasarkan statistik, kemenangan terakhir diraih pasukan Taiwan di perlawanan antarabangsa adalah sewaktu membelasah Laos dalam Piala Cabaran AFC di Stadium Kaohsiung, 10 Februari lalu dan mengalami tiga kali tewas berturut-turut kepada India (0-3), Turkmenistan (0-2) dan Pakistan (0-2).
Justeru itu, berita ini amat menggembirakan peminat Malaysia kerana mereka yakin pasukan negara mampu merencanakan sesuatu sekali gus memburu kemenangan sebelum bertandang ke Stadium Taipei Municipal, empat hari selepas itu.
Andai berjaya melepasi halangan pusingan pertama, musuh tradisi, pasukan Singapura menanti di pusingan kedua dalam pertemuan yang dijangka diadakan pada 23 dan 28 Julai depan bagi merebut slot ke pusingan ketiga yang bakal membabitkan saingan 20 pasukan. — Sinar Harian
Related posts
- Sports Ministry wants U-23 team to be retained
- Tiket perlawanan Malaysia vs Singapura habis dijual
- Video: Malaysia 3-6 Liverpool
- Video: Malaysia Juara Piala Suzuki AFF 2010
- Nizaruddin back with Mat Zan in KL Plus
- Keputusan Malaysia vs Thailand [2-1] Sukan SEA 2011
- Video Malaysia vs Singapura
- Young Lions: Tutup mulut kalau tak tahu
- Sukan Asia 2010: Malaysia tewas angkara pengadil
- Thailand vs Malaysia 7 November 2012 [Friendly]
Main topics: Bola Sepak Malaysia
Sub topics: Kelayakan Piala Dunia 2014, Malaysia, Malaysia lwn Taiwan, Malaysia vs Taiwan