Sabah 1-2 Selangor
(Stadium Likas)

GERGASI Merah mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Liga Super apabila menundukkan Sabah di Kota Kinabalu. Ini adalah kemenangan keempat berturut-turut buat pasukan bergelar Red Giants sejak 12 April lalu.

Skuad Badak pula tewas buat kali kedua di halaman sendiri sepanjang musim ini. Pengendalinya, Gary Philips perlu melakukan sesuatu kerana mereka kini berada dalam zon kritikal dan bakal kembali terhumban ke Liga Perdana jika terus mengalami kekalahan demi kekalahan selepas ini.

Terengganu 3-0 Perak
(Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah)

TERENGGANU melonjak ke tangga kedua liga dengan kelebihan satu mata ke atas Kelantan yang menewaskan Perlis 4-0. Kemenangan pastinya menceriakan penyokong setia Peteh Ganu Peteh.

Seladang nyata gagal kehampaan selepas dikecewakan lawan yang sama dalam saingan Piala FA lalu. Nyata kekalahan 0-3 mengecewakan pengendali skuad Seladang, Norizan Bakar.

Kedah 1-2 Harimau Muda A
(Stadium Darulaman)

SKUAD Hijau Kuning gagal meneruskan kecemerlangan Rabu lalu selepas tewas kepada lawan sama, Harimau Muda A. Menang di tempat lawan tetapi tewas di gelanggang sendiri. Perlawanan di Alor Setar turut turut dicemari insiden pergaduhan di akhir perlawanan dan lima kad kuning dilayang kepada pemain tuan rumah.

Kejayaan menewaskan Kedah memberikan kelegaan kepada pengendali barisan pelapis negara, Ong Kim Swee. Selepas ini mereka menanti kunjungan pasukan Negeri Sembilan di Shah Alam.

Johor FC 2-1 T-Team
(Stadium JCorp)

AKHIRNYA, kemenangan pertama berjaya dilakar skuad Lebah di gelanggang sendiri selepas menjinakkan T-Team di Pasir Gudang. Malah dua jaringan yang terhasil kelmarin menamatkan kemarau gol Lebah.

Selepas aksi cemerlang membenam Selangor 2-0 di Shah Alam, T-Team masih gagal melakar sebarang kemenangan dan kini menghuni tangga ke-9 dalam carta liga.

Negeri Sembilan 3-1 Pahang
(Stadium Tuanku Abdul Rahman)

JURULATIH Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah akhirnya mengecapi kemenangan pertama sejak membimbing Skuad Rusa. Tiga mata berharga sekaligus menjarakkan Skuad Jang dari zon penyingkiran dan memintas Pahang untuk menghuni tangga ke-11 liga.

Pasukan Pahang pula sudah mencatat tujuh kekalahan setakat ini, dan situasi ini jelas meresahkan peminat setia Skuad Tok Gajah. Paling membimbangkan mereka kini hanya dibezakan dua mata dengan pasukan kedua tercorot, Sabah.

Kelantan 4-0 Perlis
(Stadium Sultan Muhammed Ke-IV)

KELANTAN memulakan aksi pusingan kedua Liga Super 2011 dengan mengulangi kemenangan bergaya ke atas pasukan Singa Utara, Perlis 4-0 di Kota Bharu. Selepas menang besar 5-1 di Kangar, Red Warriors turun menentang pasukan sama dengan penuh keyakinan dan sukar diatasi pemain pasukan pelawat untuk sekali lagi berpesta gol, kali ini di depan peminat sendiri.

Perlis nyata bukan tandingan anak buah Datuk M Karathu dan semakin jauh tertinggal di belakang dalam kedudukan Liga Super. Singa Utara perlu segera memulihkan prestasi jika mahu mengelak terus terperosok di dasar liga.

Kuala Lumpur 0-0 Felda United
(Stadium PBKL Cheras)

KUALA LUMPUR dan Felda United terpaksa berpuashati dengan memungut satu mata selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa sebarang jaringan.

Main topics: Liga Super

Sub topics: ,


Readers Comments (1)

  1. ZAINIE

    hi

     Reply