T-Team tewaskan Kelantan 4-3

PASUKAN berstatus kelab, T-Team mencipta kejutan apabila berjaya membenam Kelantan 4-3 dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, malam tadi.

Aksi garang pasukan tuan rumah seawal minit permainan, ternyata tidak mengecewakan apabila Zairo Anuar Zailani muncul wira setelah berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-29 menerusi sepakan percuma.

T-Team yang dilihat menguasai permainan memaksa The Red Warriors yang bagaikan terpaku dengan aksi pantas skuad bimbingan Ahmad Yunus Mohd Alif.

Kelonggaran di bahagian pertahanan Kelantan, terus dihukum pasukan T-Team apabila Mohd Norfarhan Muhammad menjaringkan gol kedua dalam masa kecederaan dan keputusan itu kekal hingga minit terakhir permainan suku masa pertama berakhir.

Kehebatan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat, sekali lagi bolos menerusi jaringan cantik Indra Putra pada minit ke-51.

Seakan selesa dengan kedudukan itu, corak permainan tuan rumah dilihat bermain dalam keadaan sambil lewa dan kesempatan itu, dimanfaatkan sebaiknya pelawat apabila pemain gantian, Danial Fadzly Abdullah menjaringkan gol pertama Kelantan pada minit ke-62.

Seakan mendapat semangat daripada jaringan gol pertama itu, Kelantan terus mendekatkan jaringan dua minit kemudian menerusi percubaan jarak jauh S. Chanthuru.

Tertekan dengan asakan Kelantan, T-Team terus memperkuatkan barisan pertahanan dan Haris Safwan Kamal terus menjarakkan jaringan gol pada minit ke-79.

Tidak mudah putus asa dengan jaringan gol tuan rumah, Kelantan terus mendekatkan jaringan menerusi sepakan penalti oleh Danial Fadzly Abdullah pada minit ke-86, bagaimanapun nasib seakan tidak berpihak kepada pendahulu Liga Super hingga memaksa skuad bimbingan Datuk M. Karathu terpaksa menerima keputusan berkenaan. -Sinar Harian




coded by nessus

Main topics: Liga Super

Sub topics: , , ,


Readers Comments (0)