Hadiah bermakna buat penyokong setia Kelantan
KETUA Pasukan The Red Warriors, Mohd Badhri Radzhi menyifatkan kejayaan Kelantan menjuarai Liga Super musim ini cukup bermakna buat dirinya.
“Bagi saya ia sesuatu yang membanggakan. Ini kerana saya merupakan ketua pasukan Kelantan yang pertama berjaya membawa pulang kejuaraan Liga Super ke bumi Che Siti Wan Kembang. Cabaran dalam saingan liga cukup berbeza kerana semua pasukan mahu bergelar juara,” katanya.
Mohd Badhri atau lebih popular dengan jolokan Piya memberitahu, kejayaan merangkul kejuaraan liga musim ini adalah hasil usaha dan semangat berpasukan yang ditonjolkan oleh rakan sepasukan setiap kali turun beraksi.
“Musim lalu kita hanya sekadar naib juara, jadi untuk musim ini, rakan-rakan sepasukan tidak mahu terus kecewa dan mereka telah bekerja keras sejak saingan bermula dan hasilnya kita telah bergelar juara.
“Kejayaan muncul juara Liga Super buat kali pertama merupakan hadiah paling bermakna dari kami untuk seluruh penyokong setia dan rakyat Kelantan atas sokongan yang telah diberikan selama ini,” ujarnya.
Tambahnya, walaupun gagal meraih kejuaraan dalam saingan Piala FA musim ini, namun para penyokong tetap memberikan sokongan padu buat Kelantan tidak kira kalah atau menang. — Utusan
Video: Kelantan Juara Liga Super 2011
Luahan Perasaan