Karathu teruskan taktikal Sathianathan
TEMPOH dua hari yang dimiliki oleh pengendali baru Red Warriors, Datuk M.Karathu mencukupi untuk beliau menyusun strategi bagi menghadapi Perlawanan Sumbangsih menentang Selangor di Stadium Shah Alam, hari ini.
Bekas jurulatih Perak itu berkata, pada pertembungan dengan Selangor, anak-anak buahnya akan turun dengan taktikal yang telah dirancang oleh bekas rakan sejawatnya, B.Sathianathan.
Menurutnya, beliau hanya sempat menjalani latihan selama dua hari bersama pasukan selepas mengambil alih tugas Sathia, yang digantung selama enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Bagi saya keputusan terbaik adalah mengekalkan taktikal yang digunakan oleh bekas jurulatih Sathia. Tempoh dua hari tidak cukup buat saya untuk mengubah keseluruhan corak permainan pasukan.
“Saya telah mengadakan perbincangan dengan Sathia dan Hashim Mustapa untuk pemain merencanakan taktikal terbaik apabila turun menentang Selangor malam esok (malam ini),” katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, tahap kecergasan pemain masih belum memuaskan untuk perlawanan yang berprestasi tinggi hari ini, iaitu aksi pertama musim ini.
“Masalah ini sering berlaku kepada pemain tempatan. Saya kira Selangor juga berdepan masalah yang sama,” katanya.
Karathu menjelaskan, untuk perlawanan hari ini, pasukannya berdepan masalah apabila dua penyerang utama, Norshahrul Idlan Talaha belum pasti diturunkan, selepas mengadu kesakitan pada sesi latihan sejak dua hari.
Tambahnya, lebih memeritkan, beliau terpaksa melupakan khidmat pemain lincah, S. Chanturu yang masih cedera.
“Namun kami masih ada dua penyerang muda yang boleh diketengahkan iaitu Nizad Ayub dan Ramzul Zahini Adenan.
“Bagi saya ia satu situasi yang cukup baik apabila semua pemain mempunyai keyakinan untuk turun beraksi dan pentas akhir tidak sama dengan perlawanan biasa, saya mahu para pemain beraksi dengan gembira dan buktikan kemampuan,” ujarnya.
Karathu menyifatkan Selangor memiliki kekuatan dari segi serangan kerana memiliki pemain yang bagus seperti Safee (Sali), Amri (Yahyah) dan Amirulhadi (Zainal).
“Ini bermakna barisan pertahanan kami perlu bekerja kuat untuk mengekang mereka,” ujarnya.
January 30, 2011 - 1:14 pm
teruskan berusaha!!tingkatkan pencapaian untuk sukan negara!