Bekas jurulatih Piala Presiden NS dipenjara 25 tahun, denda RM200,000

Bekas ketua jurulatih skuad Piala Presiden Negeri Sembilan, Yusarman Yusof dihukum penjara 15 bulan dan denda RM200,000 selepas didapati bersalah atas 20 tuduhan memberi rasuah berjumlah RM24,700 kepada para pemain skuad berkenaan bagi mengatur keputusan satu perlawanan bola sepak pada tahun lalu.

Yusarman, 36, yang memakai kemeja putih kelihatan tenang semasa hukuman tersebut dijatuhkan hari ini oleh Hakim Mahkamah Sesyen Seremban di sini, Datin Nursinah Adzmi.

Nursinah memutuskan demikian selepas mendapati pembelaan tertuduh gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Yusarman bersama dua lelaki yang masih bebas didakwa memberi rasuah berjumlah RM24,700 kepada 11 pemain bola sepak pasukan Piala Presiden Negeri Sembilan di antara 19 dan 22 April tahun lalu.

Barisan 11 pemain terbabit ialah D. Adrian, Mohamad Zulfadhlie Mohamad, Muhammad Zaidi Othman, Mohamad Yatim Abdullah, Muhammad Haikal Mohamad Nazri, Anwarul Hafiz Ahmad, Norhairi Abd. Rahman, Muhammad Rizqi Azman, Suhairy Johari, Hamirul Fahamie Abu Yazid dan Mohd. Hafiz Mohd. Nor.

Yusarman didakwa memberi wang suapan antara RM300 dan RM2,000 kepada mereka sebagai dorongan supaya membantu menjaringkan gol dan memberi peluang kepada pemain pasukan bola sepak Piala Presiden Pulau Pinang SDM Navy menjaringkan gol apabila mendapat isyarat daripada seseorang dalam perlawanan di Stadium Bertam, Pulau Pinang pada 21 April tahun lalu.

Dalam perlawanan itu, Negeri Sembilan menang 5-2.

Sejumlah 11 pertuduhan didakwa dilakukan di sebuah pusat karaoke di Pusat Komersial Cempaka, Taman Cempaka, Senawang dekat sini pada 22 April 2011 manakala sembilan pertuduhan lagi didakwa dilakukan di tempat yang sama empat hari sebelum itu.

Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 16(B)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana- mana yang lebih tinggi.

Dalam keputusannya, Nursinah berkata, tertuduh dalam keterangan pembelaannya menafikan mengenali dua lelaki terbabit dan menolak dakwaan dia memberi wang kepada para pemain.

“Bagaimanapun, daripada keterangan saksi-saksi (pemain) mendapati tertuduh yang berada di tempat kejadian melihat dua lelaki terbabit memberi wang kepada mereka serta tidak berkata apa-apa.

“Daripada keterangan saksi-saksi ini jelas menunjukkan niat bersama tertuduh dengan dua lelaki terbabit. Mahkamah dengan ini mendapati tertuduh disabitkan dengan kesalahan dan menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan serta denda RM10,000 bagi setiap kesalahan,” katanya.

Bagaimanapun, Nursinah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak dan membenarkan hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), P. Sevan manakala tertuduh diwakili peguam Raftfizi Zainal Abidin.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kegiatan jurulatih terbabit itu terbongkar selepas Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) membuat laporan polis pada 26 Mei tahun lalu kerana mengesyaki beberapa pemain termasuk pihak pengurusan skuad berkenaan terlibat dengan kegiatan mengatur keputusan perlawanan.

Berikutan itu, Yusarman yang ditamatkan kontrak sehari sebelum laporan itu dibuat ditahan SPRM sebelum dihadapkan ke mahkamah. — Utusan

Info Bola Sepak Terus ke Emel Anda
Pastikan anda tidak ketinggalan post-post yang menarik di sini! Sertai mailing list kami dan semua post akan dihantar terus ke email anda!.
We hate spam. Your email address will not be sold or shared with anyone else.

2 Responses to Bekas jurulatih Piala Presiden NS dipenjara 25 tahun, denda RM200,000

  1. harimau malaya

    Admin, tajuk salahla. mana ada penjara 25 tahun, 15 bulanla

    • ko ni pun satu bacalah betul2,kan dia cakap penjara 15bln dan denda 10000 setiap kesalahan…kan dia ada 11 kesalahan kau kiralah…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>