KALAH pada aksi pembukaan Piala Malaysia kepada Pahang Selasa lalu, tidak mencemaskan skuad penyu.
Jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim yang mengakui anak buahnya beraksi teruk dalam perlawanan tersebut berkata, Terengganu masih mempunyai peluang untuk merubah keadaan, dalam lima lagi perlawanan Kumpulan B.
”Kita akan perbaiki kelemahan yang ada dan memberikan persembahan terbaik nanti,” katanya.
Terengganu akan bertandang ke Stadium Likas, Kota Kinabalu menentang Sabah pada aksi kedua Kumpulan B Piala Malaysia, hari ini.
Terengganu tewas 1-3 kepada Pahang dalam aksi sulung mereka di Stadium Ismail Nasirruddin Shah, Selasa lalu.
Pahang meledak gol menerusi Mohd. Fazli Baharuddin dan Mohd. Faizol Hussain, sementara satu lagi gol hadir menerusi jaringan sendiri ketua pasukan Terengganu, Marzuki Yusof.
Gol tunggal tuan rumah dijaringkan oleh pemain gantian yang juga bintang baru Terengganu, Abdul Rayjal Abdul Jalil.
Irfan menganggap skuad kendaliannya sememangnya layak menerima kekalahan, berdasarkan persembahan hambar yang dipamerkan sepanjang aksi 90 minit.
“Saya tidak terkejut dengan kekalahan ini kerana kami bermain begitu teruk.
“Pemain gagal bermain secara berpasukan. Tidak ada kesinambungan antara jentera pertahanan dan serangan,” ujarnya.
Beliau menambah, jentera pertahanan memperlihatkan kelemahan, dengan beberapa kali melakukan kesilapan sehingga memberi peluang kepada pasukan lawan menjaringkan gol.
“Kalau ikutkan, kami sepatutnya memberi tekanan kepada Pahang kerana beraksi di gelanggang sendiri, tetapi sebaliknya pula yang berlaku, apabila pasukan lawan yang memberi tekanan kepada kami sepanjang perlawanan,” katanya.
Dalam pada itu, Irfan memberi pujian kepada Rayjal, kerana berjaya menyesuaikan diri dengan corak permainan Terengganu.
“Saya berpuas hati dengan Rayjal bukan kerana dia berjaya menjaringkan gol, tetapi kerana kemampuannya untuk menyesuaikan diri dengan rakan yang lain,” katanya.
“Saya yakin, dalam dua atau tiga perlawanan lagi, dia mampu memberi impak yang ketara kepada pasukan secara keseluruhannya,” tambah Irfan. — KOSMO
Tags: Piala Malaysia, Prebiu, Terengganu, Terengganu vs Sabah