PEMAIN sudah ada, tetapi kombinasi terbaik masih belum ditemui. Itu yang dialami pasukan Kuala Lumpur menjelang perlawanan pertama mereka dalam saingan Liga Super menentang T-Team, Sabtu ini.
Menurut jurulatihnya, Razip Ismail, pemainnya sedang giat berlatih sekarang ini dan bersiap sedia untuk beraksi, bagaimanapun prestasi mereka ketika persiapan pra-musim agak terumbang-ambing.
“Saya sudah ada bayangan kesebelasan utama yang akan diturunkan, cuma saya masih belum pasti keadaan pemain menjelang perlawanan Sabtu ini apa-apa sahaja boleh berlaku, mungkin ada yang mengalami kecederaan,” katanya.
Jelasnya, buat masa ini kebanyakan pemainnya bebas dari masalah kecederaan. cuma ada seorang dua sahaja pemain yang cedera tetapi boleh dikategorikan sebagai tidak serius.
“Berdasarkan perlawanan persahabatan sebelum ini, prestasi kami ibarat yo-yo, kami pernah mencatat kemenangan dan juga kekalahan.
“Bagi saingan Liga Super, kami banyak bergantung kepada pemain muda dan saya lihat mereka mula menunjukkan peningkatan dari masa ke semasa,” kata bekas pemain Kuala Lumpur itu.
Kata Razip, pemainnya masih memerlukan sedikit masa untuk membentuk satu gandingan yang mantap dan perlu memperbaiki beberapa kelemahan yang telah diteliti ketika perlawanan persahabatan sebelum ini.
“Antara masalah kami dalam mempersiapkan pasukan ialah di bahagian serangan, bagaimanapun saya sudah mengenalpasti pemain yang bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh penjaring terbanyak musim lalu, Abd, Hadi Yahya.
“Saya beranggapan tugas sebagai penyerang utama mampu digalas oleh Fahruzzahar Ali, bekas penyerang Johor FC dan Badrul Hisyam Azmi (penjaring kedua terbanyak Kuala Lumpur musim lalu) serta seorang lagi pemain baru, Khairul Anuar Shafie yang sebelum ini beraksi bersama pasukan kelab, Titiwangsa FC,” katanya.
Dalam perlawanan persahabatan terakhir sebelum ini, Kuala Lumpur tewas 1-2 kepada Angkatan Tentera Malaysia, selasa lepas.
Tags: Kuala Lumpur, Liga Malaysia, Liga Super, Prebiu, Razip Ismail