Perlis, T-Team punya peluang sama rata untuk iringi Selangor ke suku akhir
PERLIS mahu memanfaatkan sebaik mungkin kelebihan beraksi di Stadium Utama Negeri, Kangar pada baki dua perlawanan Kumpulan D termasuk aksi menentang T-Team malam ini untuk memastikan salah satu slot ke suku akhir saingan Piala Malaysia 2010 milik skuad Singa Utara.
Pendahulu Kumpulan D yang juga juara Liga Super, Selangor sudah sah mengisi satu slot dari kumpulan itu manakala satu lagi pasukan, Felda United telah terkeluar dari saingan pusingan kalah mati selepas tewas semua empat perlawanan.
Situasi berkenaan menyaksikan Perlis dan T-Team kini bersaing untuk merebut peluang mara ke kelompok lapan pasukan terbaik selepas masing-masing mengumpul jumlah mata yang sama.
Perlis dilihat lebih tertekan kerana jika tewas atau seri mereka menghadapi tugas berat pada perlawanan terakhir kerana perlu berdepan Selangor manakala T-Team mempunyai lebih baik jika mampu sekurang-kurangnya mengikat pasukan Singa Utara malam ini.
Pasukan kelab dari Terengganu itu berdepan Felda United pada perlawanan terakhir 9 Oktober ini.
Ketua jurulatih Perlis, Yunus Alif yang sedar tanggungjawab berat dipikul pasukannya mengakui perlawanan malam ini bakal menjadi penentu peluang Singa Utara untuk ke suku akhir.
“Bagi saya kedua-dua baki perlawanan itu cukup penting terutama menentang T-Team malam esok (malam ini) sebagai penentu perjuangan ke suku akhir,” katanya.
Tags: Perlis, Piala Malaysia 2010, Prebiu, T-Team, T-Team vs Perlis