SELEPAS tersungkur kepada Terengganu di tempat sendiri minggu lalu, hanya tiga mata mutlak menjadi matlamat Pahang apabila bertemu Kuala Lumpur di Stadium KLFA Cheras malam ini, dalam usaha memastikan tiket ke suku akhir Piala Malaysia.
Justeru, jurulatihnya, Dollah Salleh mahu skuad kendaliannya itu dapat memikul tugas berat itu pada baki dua perlawanan Kumpulan B sekalipun selesa berada di tangga kedua, di belakang Sabah.
Katanya, kekalahan 0-2 kepada Terengganu Ahad lalu, tidak harus membelenggu fikiran pemain kerana mereka mampu beraksi dengan lebih baik untuk membawa pulang tiga mata dari gelanggang pasukan tangga terbawah itu.
“Saya sebenarnya berpuas hati dengan prestasi pemain biarpun mengalami dua kekalahan kerana ada unsur kesungguhan dalam permainan mereka dan dengan dua baki perlawanan, peluang sebenarnya masih cerah,” katanya.
Ahad lalu, Pahang gagal memanfaatkan gelanggang sendiri, sekali gus terlepas kedudukan teratas kumpulan apabila dipintas Sabah yang mengatasi Kuala Lumpur.
Dengan berbaki dua perlawanan, Pahang perlu mencipta kemenangan apabila bertemu Kuala Lumpur yang ditewaskan 5-2 sebelum ini, dan bagi merealisasikan misi penting itu, Dollah berharap jentera serangan dapat membolosi gawang tuan rumah.
Tags: Kuala Lumpur, Pahang, Pahang vs Kuala Lumpur, Piala Malaysia 2010, Prebiu