KEBOLEHAN, semangat juang yang tinggi serta kesungguhan, merupakan azimat buat Kedah apabila menentang Negeri Negeri Sembilan pada aksi akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Sementara Negeri Sembilan pula menyandarkan harapan di bahu pemain muda berbakat yang digabungkan dengan bintang berpengalaman untuk memenangi trofi tersebut.
Jurulatih Kedah, Ahmad Yusof berkata, kejayaan sesebuah pasukan banyak bergantung kepada kesungguhan pemain dan keupayaan mempamerkan persembahan sempurna.
“Senjata utama pasukan Kedah pada perlawanan akhir ini adalah kebolehan, semangat juang dan kesungguhan pemain di atas padang.
“Kami mempunyai strategi tersendiri bagi menghalang Negeri Sembilan,” katanya pada sidang akhbar sempena perlawanan akhir itu di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pasukannya hanya mahu mencipta kemenangan pada pertemuan hari ini dan akan melakukan apa sahaja bagi mencapainya.
Katanya, meskipun rata-rata pemain yang akan diturunkan nanti berusia bawah 23 tahun, keyakinannya untuk melihat skuad Kenari membawa pulang Piala FA, adalah tinggi.
“Apa yang penting, saya hendak mencatat kemenangan. Saya yakin pasukan Kedah mampu melaksanakannya,” katanya.
Ditanya mengenai kekuatan Negeri Sembilan, beliau berkata, pasukan lawan mempunyai skuad yang baik, menerusi gabungan pemain muda dan berpengalaman.
Jelasnya, kekalahan kepada Negeri Sembilan sebelum ini banyak memberi pengajaran kepada skuad dari utara itu.
“Kita sudah bersedia dari segi fizikal dan mental,” kata jurulatih Kedah itu lagi.
Dalam pada itu, ketua pasukan Kedah, Shahrulnizam Mustapa berkata, dia berharap rakan sepasukan memberi fokus tinggi sepanjang perlawanan tersebut.
Katanya, benteng pertahanan terutamanya, tidak harus leka kerana bahagian serangan Negeri Sembilan terlalu pantas dan mampu membuat serangan balas merbahaya.
Begitupun, dia memuji rakan sepasukan kerana berjaya membentuk sebuah pasukan yang matang.
“Saya yakin pasukan ini tidak mempunyai masalah untuk beraksi baik pada perlawanan besar seperti ini dan mampu mencipta kejayaan,” katanya.
Jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan pula tidak anggap Kedah sebagai pasukan muda, setelah enam tahun bersama-sama beraksi.
‘‘Kedah sebuah pasukan berpengalaman kerana sudah pernah dua kali beraksi pada pentas akhir Piala FA,’’ katanya.
Tags: Final, Final 2010, Kedah, Negeri Sembilan, Piala FA