KELANTAN bangkit dari ketinggalan dua gol untuk mengikat tuan rumah, Negeri Sembilan 2-2 dalam aksi Piala Malaysia bagi Kumpulan A di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi sebentar tadi. [LIHAT VIDEO]
Keputusan seri bermakna naib juara Liga Super 2010 itu meniti laluan berliku untuk melayakkan diri ke suku akhir selepas turun ke tangga ketiga dipintas PKNS yang menang 3-2 ke atas KL PLus dalam satu lagi aksi Kumpulan A.
Kelantan menguasai perlawanan pada awal perlawanan dan nyaris mendahului menerusi ketua pasukan, Indra Putra Mahayuddin tetapi percubaannya pada minit ke-9 untuk memperdaya penjaga gol tuan rumah agak lemah.
Pasukan tuan rumah mempunyai peluang terbaik menjaring gol namun Ketua Pasukan, Rezal Zambery Yahya mensia-siakan hantaran lintang Shahurain Abu Samah dengan menanduk lemah pada minit ke-16.
Selang seminit kemudian, pemain veteran Idris Abdul Karim yang melakukan larian solo dari tengah padang sempat melepaskan rembatan namun tersasar daripada pintu gol Kelantan.
Pada minit ke-21, tuan rumah sekali lagi mencemaskan pintu gol pasukan pelawat menerusi sepakan percuma Rezal Zambery namun diselamatkan Khairul Fahmi.
Gol yang ditunggu-tunggu oleh Negeri Sembilan akhirnya muncul pada minit ke-25 perlawanan. Segalanya bermula menerusi gerakan S Kunanlan dari sebelah kanan pintu gol Kelantan yang melorong bola kepada Idris yang kemudian melakukan tolakan ke belakang disudahi dengan rembatan kencang Shahurain Abu Samah menewaskan Khairul Fahmi.
Tersentak dengan jaringan itu, Kelantan bangkit mengatur serangan, namun jentera serangan yang diketuai Hairuddin Omar dan S Chanturu dilihat begitu sukar menembusi benteng pertahanan tuan rumah yang dikawal ketat Mohd Aidil Zakuan Abdul Razak dan Mohd Shukor Adan.
Walaubagaimanapun, Negeri Sembilan terpaksa bermain dengan 10 pemain pada minit ke-40 setelah pemain pertahanan, Rahman Zabul dilayangkan kad kuning kedua setelah mengasari S Chanturu.
Tambah memeritkan keadaan, pada minit-minit akhir separuh masa pertama, jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan pula diarahkan meninggalkan bangku simpanan pemain kerana membantah keputusan pengadil perlawanan.
Babak kedua, Kelantan mula menukar corak permainan dengan memasukkan penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha menggantikan S Chanturu bagi menghidupkan jentera serangan. Sentuhan pertama Norshahrul Idlan hadir pada minit ke-47 menerusi rembatannya yang terus ke pangkuan Mohd Sani Annuar.
Sementara itu, pemain pertahanan tuan rumah, Mohd Shukor Adan mencuri perhatian peminat mereka pada minit ke-51 menerusi gerakan solonya. Bermula daripada bahagian tengah, Mohd Shukor yang mudah melepasi benteng pertahanan Kelantan seterusnya memperdayakan Azizi Matt Rose sempat melepaskan rembatan kencang dan ditepis keluar oleh Khairul Fahmi.
Kesilapan Azizi menjatuhkan S Kunanlan di dalam kotak penalti pada minit ke-62 dihukum apabila pengadil perlawanan, Annuar Che Hussin menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan tuan rumah.
Abdul Halim Zainal, pemain yang menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti ketika pertemuan Kelantan menentang Negeri Sembilan pada pusingan pertama di Kota Bharu mudah menyepak masuk menewaskan Khairul Fahmi buat kali kedua.
Tersentak dengan gol kedua tersebut, jurulatih B Sathianathan memasukkan Akmal Rizal Ahmad Rakhli menggantikan Hairuddin Omar yang tidak begitu efektif pada perlawanan malam tadi.
Ketinggalan dua gol nyata tidak mematahkan semangat juang anak buah B Sathianathan apabila berjaya menyamakan dalam tempoh dua minit menerusi jaringan Zairul Fitree Ishak dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli.
Pada minit ke-67, penyokong setia tuan rumah terdiam seketika apabila pemain pertahanan kiri Kelantan, Zairul Fitree Ishak yang meluru naik ke atas bijak memanfaatkan lorongan Mohd Norfarhan dengan merembat kencang dari sebelah kanan pintu gol Negeri Sembilan menewaskan Mohd Sani Annuar.
Dua minit kemudian, supersub Kelantan, Akmal Rizal menggamatkan ribuan penyokong setia The Red Warriors dengan menanduk masuk hantaran lintang Zairul Fitree seterusnya menghasilkan gol penyamaan buat Kelantan.
Sementara itu, tandukan lemah Azizi pada minit ke-73 sekadar ditangkap mudah Mohd Sani Annuar pada ketika pemain Kelantan dilihat mula mengendurkan serangan ke atas pintu gol tuan rumah.
Negeri Sembilan turut mempunyai peluang terbaik pada minit ke-78 namun tandukan Abdul Halim hasil sepakan sudut rakan sepasukan sedikit tersasar penjuru pintu gol sebelah kiri Kelantan.
Beraksi dengan 10 pemain jelas menyaksikan pasukan tuan rumah lebih banyak bertahan pada minit-minit akhir permainan sementara Kelantan pula gagal menggunakan kesempatan tambahan masa empat minit untuk mencari gol kemenangan.
Selepas empat perlawanan, Negeri Sembilan kekal mendahului Kumpulan A dengan lapan mata diikuti PKNS (6), Kelantan (5) dan KL Plus (2). [LIHAT CARTA PENUH]
Tags: Kelantan, Kelantan-Negeri Sembilan, Negeri Sembilan, Piala Malaysia 2010