MESKIPUN baru menjulang trofi Piala Sultan Ahmad Shah 2010 setelah menewaskan Negeri Sembilan 2-1 Sabtu lalu, Selangor tetap waspada apabila turun menentang Kuala Lumpur pada aksi kedua Liga Super di Stadium Shah Alam malam ini.
Pengalaman musim lalu membuatkan pengurus merangkap jurulatih Selangor, K Devan tidak mahu memandang rendah skuad warga kota itu yang baru pertama kali beraksi dalam saingan Liga Super.
“Musim lalu, kita pernah bertemu Kuala Lumpur pada pusingan kedua Piala FA. Pada perlawanan pertama di Cheras, kami hanya menang tipis 1-0 sebelum diikat 1-1 pada aksi kedua di Shah Alam.
“Ini susahnya apabila bertemu pasukan yang dibarisi pemain-pemain muda seperti Kuala Lumpur. Mereka akan beraksi sepenuh tenaga lebih-lebih lagi apabila lawan adalah Selangor,” kata Devan.
Pada aksi pertama Liga Super Sabtu lalu, Selangor ketinggalan 0-1 pada babak pertama sebelum bangkit memperoleh dua gol lewat pada baki 15 minit terakhir menerusi Safee Sali dan R Surendren.
Menurut Devan, sudah tentu dia mahu Selangor mengutip tiga mata penuh pada pertemuan dengan Kuala Lumpur malam ini memandangkan mereka beraksi di tempat sendiri.
“Saya harap pemain-pemain dapat beri sepenuh fokus pada perlawanan ini. Jangan anggap mudah. Kemenangan penting untuk memberi keyakinan kepada pasukan dan juga para penyokong Selangor.
“Mungkin ada satu atau dua perubahan dalam kesebelasan utama memandangkan terdapat pemain yang keletihan,” jelasnya.
Selangor pastinya mahu terus tampil gah selaku juara bertahan Liga Super dan juga Piala FA selain mereka turut memburu kejuaraan Piala Malaysia setelah terkandas di suku akhir pada musim lalu.
Tiga pemain baru Selangor iaitu Safiq Rahim, Liew Kit Kong dan Farderin Kadir sudah pun menampilkan aksi sulung mereka Sabtu lalu manakala Iqbal Suhaimi, Bunyamin Umar dan Azrine Efendy Saduddin sedia diturunkan jika tenaga mereka ditagih Devan pada aksi seterusnya.
-Kosmo
Tags: Kuala Lumpur, Liga Malaysia, Liga Super, Prebiu, Selangor, Shah Alam