PERLAWANAN Kedah menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Sabtu lalu di Stadium Darulaman berjaya melayakkan pasukan Hijau Kuning itu mara ke peringkat suku akhir apabila menumpaskan lawan 4-0.
Pengurus pasukan Kedah, Datuk Khazali Din berkata dia berpuas hati dengan corak permainan yang ditampilkan oleh pemain termasuklah tiga pemain baru Wan Mohd Asyraf, Fikri Saad dan Hattopan.
Menurutnya, ketiga pemain yang diambil menerusi skuad Piala Presiden itu menunjukkan kehebatan mereka ketika beraksi.
“Corak permainan yang ditonjolkan oleh mereka bertiga sangat baik dan kita yakin mereka mampu untuk menjaringkan gol untuk pasukan.
“Jika dilihat pada perlawanan lalu, Wan Mohd Asyraf berjaya menjaringkan gol untuk pasukan pada minit ke-73,” katanya.
Justeru itu beliau mahu para pemain pasukan Hijau Kuning itu mengekalkan aksi cemerlang dan rentak kemenangan pada pertemuan suku akhir pertama saingan Piala Malaysia menentang Terengganu malam ini.
Menurutnya, kemenangan ke atas skuad Pantai Timur itu penting sebagai bekalan bagi skuad Hijau Kuning pada perlawanan kedua di laman sendiri Sabtu ini.
Katanya, persembahan terbaik yang ditunjukkan pemain ketika menewaskan ATM 4-0, Sabtu lalu perlu dijadikan pendorong untuk meraih kemenangan malam ini.
“Kedah mahukan kemenangan ketika bertandang di Kuala Terengganu. Pemain diharapkan dapat mengekalkan momentum kemenangan yang ditunjukkan ketika mengalahkan ATM baru-baru ini,” katanya.
Gol kemenangan Kedah ke atas ATM dihasilkan oleh Mohd Khyril Muhymeen, Badrol Baktiar, Wan Asyraf Wan Ali dan Azmi Muslim.
Khazali yang juga Datuk Bandar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) berkata, prestasi pemain ketika ini berada pada tahap terbaik dan peluang untuk pasukannya meraih kemenangan tetap ada.
Namun katanya, pemain tidak boleh memandang mudah perlawanan itu kerana pasukan lawan pasti mahukan kemenangan lebih-lebih lagi mereka beraksi di hadapan penonton sendiri.
“Pemain dilihat begitu bersemangat bagi mengharungi perlawanan ini dan diharapkan semangat itu dapat diterjemahkan di atas padang dengan kemenangan,” katanya.
Tags: Kedah, Kedah-Terengganu, Piala Malaysia 2010, Prebiu, Suku Akhir