Thursday, 24/09/2020


Kijang nyaris terjerat di gelanggang sendiri

Published on January 15, 2010 by   ·   No Comments

LEKA dan memandang rendah keupayaan lawan hampir memerangkap Kelantan ketika mereka menerima kunjungan Johor pada perlawanan Liga Super malam semalam.

Gol awal menerusi Akmal Rizal Ahmad Rakli seawal minit kedua seakan-akan gagal meniup semangat skuad The Red Warriors untuk berpesta gol pada aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu itu.

Perlawanan babak pertama menyaksikan Kelantan mempamerkan aksi di bawah prestasi sebenar dengan hantaran yang kurang sempurna serta beberapa gerakan yang tidak menjadi.

Hakikat itu turut diakui sendiri oleh jurulatih Kelantan, B Sathianathan.

Jelas Sathianathan, para pemainnya terjerat dengan ‘zon selesa’ selepas mendahului hasil jaringan Akmal Rizal.

“Memang benar kita hilang konsentrasi pada separuh masa pertama sehingga menyebabkan kita turut diasak pasukan lawan.

“Bagaimanapun, kita berjaya mengubah keadaan pada babak kedua dengan permainan yang lebih baik sehingga berjaya menjaringkan dua gol lagi dan ia sudah cukup memadai,” kata Sathianathan.

Dalam perlawanan malam kelmarin, Akmal Rizal membuka tirai jaringan seawal minit kedua selepas ‘menyambung’ rembatan Indra Putra Mahayuddin.

Empat minit selepas babak kedua bermula, Kelantan memperoleh gol kedua menerusi jaringan cantik Badhri Radzi.

Indra melengkapkan malam gemilang Kelantan dengan gol ketiga pada minit ke-59 selepas menanduk bola muntah hasil rembatan Badhri.

Ketika ditanya mengenai perlawanan menentang Perlis di Stadium Utama Negeri, Kangar esok, Sathianathan berkata: “Ia bukan suatu tugas yang mudah walaupun kita pernah menewaskan mereka pada perlawanan separuh akhir Piala Malaysia musim lalu.

“Apa yang pasti, ia perlawanan yang sengit dan kita tidak seharusnya mempersia-siakan peluang untuk membawa pulang mata penuh ke Kota Bharu.”




coded by nessus

Tags: , ,

Readers Comments (0)




Latest News