Sunday, 14/04/2013


Johor FC naik tangga kedua

Published on April 18, 2010 by   ·   No Comments

JOHOR FC kini bergelar pencabar kepada Selangor apabila menundukkan Terengganu dan mengambil alih kedudukan tangga kedua Liga Super, selepas menewaskan pasukan Pantai Timur itu 2-0 di Stadium JCorp, Pasir Gudang, malam tadi.

Kekalahan Terengganu itu menghanyutkan sedikit pasukan itu ke tangga ketiga, dan kini dipisahkan empat mata di belakang Selangor.

Tuan rumah meraih tiga mata apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-86 yang disudahkan Eddy Helmi Manan selepas terkena tangan pertahanan pelawat dan ketika aksi berbaki dua minit, Mohd Izuan Jarudin menanduk masuk sepakan percuma Eddy Helmi untuk merampas kedudukan tangga kedua dari Terengganu.

Dalam pada itu, juara Piala FA, Negeri Sembilan dipaksa menelan hakikat reputasi itu bukan sesuatu digeruni Kelantan apabila pelawat menundukkan mereka 3-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, Seremban.

Indra Putra Mahayuddin mengubati kekecewaan tewas kepada lawan sama pada final Piala Malaysia tahun lalu, apabila bijak menyungkit masuk melepasi penjaga gol, Sani Anuar Kamsani pada minit ke-29 selepas pertahanan Negeri Sembilan gagal mengeluarkan bola dengan kemas.

Mohd Daudsu Jamaluddin menggandakan kelebihan Kelantan pada minit ke-56 namun tandukan Shukor Adan merapatkan seketika jurang pada minit ke-76, sebelum pemain gantian, Mohd Badri Radzi memastikan tiga mata penuh dengan gol ketiga, tiga minit kemudian.

Finalis yang ditewaskan Negeri Sembilan minggu lalu, Kedah bangkit daripada kekecewaan itu untuk menewaskan Kuala Lumpur 2-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras, menerusi jaringan Shafiq Jamal pada minit ke-22 dan V Thirumurugan (m72).

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, T-Team meraih kemenangan 1-0 ke atas Pulau Pinang hasil jaringan Abdul Hadi Yahya pada minit ke-59.




Related posts

coded by nessus

Tags: , ,

Readers Comments (0)




Latest News