TERENGGANU mengukuhkan kedudukan mereka di tangga ketiga Liga Super selepas membelasah pasukan di tangga keempat, Johor FC dalam aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.
Pasukan tuan rumah menguasai sepenuhnya perlawanan, namun gol pertama hanya menyusul selepas 42 minit perlawanan berlangsung menerusi percubaan K Rajan.
Ketua pasukan, Marzuki Yusof menggandakan kedudukan buat Terengganu sejurus sebelum perlawanan berhenti rehat.
Gol ketiga Terengganu hadir pada minit ke-78 menerusi penyerang, Abdul Manaf Mamat yang baru selesai menjalani penggantungan perlawanan.
Mohd Ashaari Shamsuddin menambah derita pasukan pelawat dua minit kemudian untuk gol keempat dan terakhir perlawanan.
Kemenangan besar itu bagaimanapun tidak mengubah kedudukan Terengganu di tangga ketiga liga dengan 41 mata, ketinggalan tujuh mata di belakang Kelantan yang masih kukuh di tempat kedua.
- Perak 1-0 Selangor
- Kelantan 1-0 Negeri Sembilan
- Kedah 0-0 Kuala Lumpur
- Terengganu 4-0 Johor FC
- Pulau Pinang 1-6 T-Team
- Johor 2-0 Pahang
- Perlis 0-1 KL Plus
Tags: Johor FC, Liga Super, Terengganu