FELDA United mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu saingan Liga Perdana apabila mencatat kemenangan 1-0 ke atas Majlis Perbandaran Muar di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, malam tadi.
Mengekori mereka adalah Sabah yang melonjak ke tangga kedua daripada tangga keempat, selepas menewaskan Polis 3-1 di Stadium Likas, hasil dua gol Razlan Otto pada minit ke-67 dan 83 selepas gol awal Bobby Gonzales pada minit ke-61 disamakan Afiz Aminuddin buat pelawat tiga minit kemudian.
Dalam pada itu, PKNS dan Tentera yang masing-masing berada di tangga kedua dan ketiga sebelum ini semakin keciciran apabila kedua-duanya seri tanpa jaringan dalam saingan di Stadium Selayang.
Di Stadium Larkin, MP Muar hampir mengejutkan pelawat pada minit ke-22 namun palang gol menjadi penghalang tandukan baik Hafizi Awang yang berpunca dari hantaran lintang Suhaimi Samadi.
Begitupun, pelawat memecah kebuntuan pada minit ke-32 selepas Mohd Arsyah Ayob melakukan sepakan lintang tepat kepada Fatrurazi Rozi yang menanduk bola menerjah jaring untuk memastikan tiga mata penuh.
Di Stadium Sarawak, tuan rumah mengutip mata penuh apabila menewaskan Pos Malaysia 3-1 menerusi jaringan Zamri Morshidi pada minit ke-35 dan 73 serta Azizan Saperi (69) manakala Mohd Hafizi Aminuddin menyumbangkan gol sagu hati pelawat pada minit ke-80.
Tags: Felda United, Liga Perdana, Sabah