SABAH gagal memintas Selangor PKNS apabila tewas mengejut kepada USM FC 0-1 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Olahraga Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang malam ini.
Sabah terpaksa bermain dengan 10 pemain mulai minit ke-17 apabila Bobby Gonzales dilayangkan kada merah kerana membantah dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadil.
Kesempatan itu diambil oleh pasukan tuan rumah untuk memperoleh kemenangan menerusi jaringan Mohd Fauzan Zainal Abidin pada minit ke-73.
Di Stadium Sarawak, tuan rumah berpesta gol selepas membelasah penghuni tercorot liga, Shahzan Muda, 4-1.
Zamri Morshidi menyumbangkan dua gol pada minit ke-43 dan 76 sebelum Afendi Abdul Malek dan Mohd Shahrol Saperi menambah dua lagi gol Sarawak pada minit ke 64 dan 88.
Gol tunggal pasukan pelawat dijaringkan oleh Mohd Hafiz Kamal pada minit ke-58.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahaman di Paroi, Harimau Muda membenam Polis Diraja Malaysia (PDRM) 4-0.
Mohd Irfan Fazail menyumbangkan dua gol pasukannya, seawal minit pertama dan ke-29 dan dua lagi gol dijaringkan oleh Mohd Ferris Danial (min ke-59) dan D. Sarvindran pada minit ke-59..
Di Stadium Hang Tuah, Melaka gagal memanfaatkan kelebihan bermain di gelanggang sendiri selepas dibenam 2-4 oleh Majlis Perbandaran Muar.
Pasukan pelawat terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Suhaimi Samadi pada minit ke-17 dan 48 sebelum Rosli Azizan menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-54 dan Zakaria Abu Yamin meledak gol keempat pasukannya pada minit ke-64.
Gol pasukan Melaka dijaringkan oleh Mohamad Zaidi Zubir (min ke-59) dan Zul Zairil Idzwan Rashid pada minit ke-85.
Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Angkatan Tentera Malaysia menewaskan Pos Malaysia 2-1.
Tags: Liga Perdana, Sabah, USM FC