Ferguson pancing Luka Modric

Pengurus Manchester United, Alex Ferguson akan memulakan rancangan membina semula skuadnya di Old Trafford dengan melakukan bidaan 20 juta pound (RM100 juta) bagi memancing pemain tengah berbakat, Luka Modric dari Tottenham.

Meskipun masih dalam tempoh ‘berkabung’ berikutan kekalahan memalukan di tangan Barcelona pada final Liga Juara-Juara, Sabtu lalu, Fergie pastinya bangkit segera dan mencongak strategi menghadapi musim depan.

Sebagai permulaan, dia mahu membuka rundingan dengan Spurs bagi mendapatkan Modric; seorang pemain yang diminatinya untuk sekian lama.

Fergie yang baru-baru ini menyatakan hasratnya untuk terus menabur khidmat di Old Trafford, sedar dia mesti memperkuatkan pasukannya seandainya mahu merapatkan jurang dengan kelab No. 1 Eropah, Barcelona.

Dengan United juga cuba mendapatkan pemain sayap Aston Villa, Ashley Young, usaha membida Modric jelas menunjukkan Ferguson merasakan ada perlunya dia menambah kepelbagaian dalam pilihan jentera serangannya.

Di Wembley tempoh hari, barisan penyerang United iaitu Wayne Rooney, Javier Hernandez, Antonio Valencia dan Ryan Giggs, kesemuanya gagal menggugat pertahanan Barca.

Bagaimanapun, misi memancing Modric dijangka akan mendapat tentangan kuat daripada Spurs, lebih-lebih lagi selepas mereka telah merampas Michael Carrick dan Dimitar Berbatov dari White Heart Lane dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Modric, 25, mempunyai kontrak panjang sehingga 2016 dan pernah menyatakan dia tidak merancang untuk berpindah kelab.

Dan pengerusi Spurs, Daniel Levy juga menegaskan pihaknya tidak bersedia menjual pemain-pemain bintangnya pada musim panas ini.

Justeru, United perlu bersedia membida tidak kurang daripada 20 juta pound, jika ingin melihat Modric menyarung jersi United musim baru nanti. — Utusan Malaysia

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>