Manchester City 5-1 Norwich
MANCHESTER City mengekalkan rekod bersih di tempat sendiri serta gah di persada liga EPL selepas membelasah Norwich City 5-1 di Stadium Etihad malam tadi.
Anak buah Roberto Mancini mempamerkan penguasaan sebaik saja wisel permainan bermula dengan Sergio Aguero, Mario Balotelli dan Samir Nasri antara nama penjaring dalam perlawanan malam tadi.
Gandingan Aguero dan Edin Dzeko dibarisan hadapan nyata sukar disekat, manakala Balotelli yang masuk sebagai pemain gantian juga tidak kurang hebatnya apabila turut sama membantu City membelasah Norwich.
Aguero membuka tirai jaringan pada minit 32 selepas berjaya meloloskan diri daripada pertahanan Norwich sebelum menyumbat satu tolakan menarik ke pintu gol lawan.
Gol oleh Aguero tersebut kekal hingga tamat separuh masa pertama, namun masuk separuh masa kedua menyaksikan dominasi ketara oleh para pemain City.
Bersambung separuh masa kedua, Samir Nasri menambah jaringan kedua pada minit 51 menerusi sepakan percuma menarik yang masuk menerjah jaring Norwich.
Kemaraan City sukar disekat lagi pada separuh masa kedua apabila Yaya Touré (m-68), Balotelli (m-88) dan Adam Johnson (m-90) menambah derita pasukan pelawat.
Gol saguhati Norwich dijaringkan oleh Steve Morison menerusi tandukan kencang ke dalam pintu gol Joe Hart.
Namun, gol tersebut masih sukar untuk menyekat kemenangan City yang kini mendahului persada liga EPL dengan kelebihan lima mata dan dicabar rapat musuh setempat Manchester United dan Tottenham.
Keputusan lain: Newcastle United 0 Chelsea 3, Tottenham 3 Bolton 0, Wigan Athletic 0 Arsenal 4, Aston Villa 0 Manchester United 1.
Main topics: Liga Perdana Inggeris
Sub topics: Berita EPL, EPL 2011/2012, Liga Perdana Inggeris, Live Astro, Manchester City, Manchester City vs Norwich, Rekod Tanpa Kalah