Barcelona dan Valencia turut mara ke pusingan kedua

RAFAEL Benitez menarik nafas lega apabila skuad bimbingannya, Inter Milan layak ke pusingan 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara Eropah selepas menumpaskan FC Twente 1-0, awal pagi tadi.

Inter menyusul di pusingan seterusnya bersama penyandang juara 2008, Manchester United yang menumpaskan juara liga Scotland, Rangers 1-0 menerusi jaringan penalti Wayne Rooney.

Valencia turut layak selepas menang besar 6-1 ke atas kelab Turki, Bursaspor.

Satu lagi kelab Inggeris yang layak ialah Tottenham Hotspurs yang menumpaskan kelab Jerman, Werder Bremen 3-0, dan kini menerajui Kumpulan A mengatasi Inter Milan.

Barcelona seperti diramal tidak mempunyai masalah untuk layak selepas mengalahkan Panathinaikos 3-0 dengan Pedro Rodriguez menyumbat dua gol dan satu lagi menerusi Lionel Messi.

Kelab Denmark hampir melayakkan diri bersama Barcelona tetapi kalah tipis 0-1 kepada Rubin Kazan.

Ini bermakna persaingan untuk merebut satu lagi tempat masih terbuka.

Sementara itu, gol Esteban Cambiasso pada minit ke-55 di San Siro menyelamatkan Inter dan Benitez.

Ini kerana kedudukan Benitez goyah selepas kalah tiga kali berturut-turut dan dua seri dalam lima perlawanan terakhir kelab itu.

“Memburu kemenangan adalah amat penting terutama dalam Liga Juara-Juara. Kalau jurulatihnya dalam kesukaran, ia disebabkan pasukan itu dalam kesukaran. Tapi kita mahu kemenangan, mahu gol dan akhirnya perkara inilah yang menjadikan perbezaan,” kata Benitez.




coded by nessus

Main topics: Liga Juara Eropah

Sub topics: , , ,


Readers Comments (0)