Liga Juara: Benitez bagai ‘telur di hujung tanduk’

FC Twente mampu cipta kejutan ke atas Inter Milan

Rafael BenitezRAFAEL Benitez berdepan perlawanan yang harus dimenanginya apabila berdepan pencabar kumpulan dalam Liga Juara-Juara Eropah menentang FC Twente awal pagi nanti untuk memastikan kariernya selamat di Inter Milan.

Inter kalah 1-2 di Chievo Ahad lalu untuk sembilan mata di belakang pendahulu Serie A dan khabar angin kini tersebar, selain daripada kemenangan ke atas juara Belanda itu, khidmat Benitez mungkin tidak lama di Inter.

Nasib Benitez kini bergantung kepada kesebelasan utama pilihannya apabila menentang Twente dan terdesak untuk memastikan kariernya selamat bersama juara bertahan Eropah itu.

Berbanding pasukan yang memenangi kejuaraan di Madrid, Mei lalu cuma Wesley Sneijder, Javier Zanetti, Lucio dan Goran Pandev tidak mengalami kecederaan ketika mereka berdepan misi untuk mara sebagai 16 pasukan terakhir dan mengurangkan tekanan ke atas Benitez.

Kekalahan 1-2 di Chievo menyebabkan juara tiga piala musim lalu itu berada di tangga keenam Serie A dan media melaporkan jurulatih dari Sepanyol itu kemungkinan besar akan dipecat jika kecundang di San Siro selepas menggalas tugas itu selama enam bulan.

Presiden kelab, Massimo Moratti berulang kali mempertahankan jurulatih itu kelmarin walaupun mengalami kekalahan 1-3 di Tottenham Hotspur walaupun menang pada pusingan pertama dan hanya meraih dua mata daripada empat perlawanan Serie A termasuk kekalahan kepada musuh setempat, AC Milan.

Senarai kecederaan panjang bermakna Benitez ada alasan kukuh berikutan persembahan buruk namun senarai nama pengurus yang panjang bermakna kesabaran Moratti tidak akan bertahan lama.

“Ini adalah saat yang sukar namun kami tetap tenang dengan sedikit demi sedikit kami akan mengatasinya,” kata kapten Javier Zanetti kepada siaran TV Inter.

“Untuk menilai pasukan ini, anda harus melakukannya selepas semuanya berakhir. Ia bukannya alasan namun adalah wajar. Kami pastinya perlu menang dengan harapan tinggi yang disandarkan, seperti biasa.” Adalah sukar untuk menafikan senarai kecederaan Inter terutamanya apabila Pandev dan Sneijder kelihatan tidak cergas sepenuhnya selepas bergelut dengan masalah sendiri dan gagal menyerlah sejak kebelakangan ini.

Peluang penjaring terbanyak musim lalu, Diego Milito untuk beraksi awal pagi esok agak samar kerana kecederaan terbaru ototnya manakala pemain tengah Argentina, Esteban Cambiasso juga jelas tidak bersedia walaupun beraksi hujung minggu lalu.

Penjaga gol Julio Cesar hampir kembali untuk beraksi manakala pemain pertahanan, Maicon dan Cristian Chivu masing-masing mengalami ketegangan paha dan pangkal paha lantas akan terlepas perlawanan itu. Coutinho pula terkeluar hampir sebulan dan Walter Samuel sepanjang musim.

Pemain tengah Brazil, Thiago Motta berlatih dengan pasukan kelmarin untuk memberikan sedikit pilihan selepas hanya beraksi sekali musim ini kerana pembedahan lutut namun kebanyakan pemain pasukan remaja hampir pasti dipanggil untuk mengisi bangku pemain simpanan.

Inter kini berada di tempat kedua kumpulan dengan tujuh mata terikat dengan pendahulu, Tottenham manakala Twente yang terikat 2-2 di gelanggang sendiri dengan penyandang juara September lalu mengumpul lima mata di tempat ketiga dengan berbaki dua perlawanan dan berharap untuk melakukan kejutan mara sebagai 16 pasukan terakhir.

Related Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>