Argentina lepas ke suku akhir
ARGENTINA menepati ramalan mara ke suku akhir kejoha- nan bola sepak Copa America selepas menewaskan Costa Rica 3-0 semalam.
Sergio Aguero muncul wira Argentina selepas meledakkan dua gol masing-masing pada minit ke-45 dan 52 sebelum Angel Di Maria menambah gol ketiga minit ke-63.
Aguero yang bermain selepas Carlos Tevez diletakkan di bangku simpanan, berjaya menampilkan aksi cemerlang, sekali gus membolehkan pasukan itu menguasai permainan.
Hasil bantuan Lionel Messi, penyerang Atletico Madrid itu berjaya membantu Argentina mengutip tiga mata penting bagi melayakkan diri ke suku akhir.
Bagaimanapun, Argentina sekadar menduduki tangga kedua dalam Kumpulan A selepas mengumpul lima mata, dua mata di belakang pendahulu, Colombia.
“Ini adalah tonik yang sebenar, apa yang kami perlukan,” kata Aguero.
“Kami bermain dengan baik dan memperoleh gol tetapi apa yang lebih penting, kami bermain sebagai sebuah pasukan. Kini kami perlu mengekalkan aksi seperti ini.”
Javier Pastore yang masuk menggantikan Gonzalo Higuain pada lewat permainan turut menyokong pendapat Aguero.
“Ini adalah kemenangan yang sangat penting dan persembahan terbaik pasukan Argentina. Kami mempamerkan permainan kami yang sebenar,” katanya.
Sebelum ini, jurulatih Sergio Batista berada dalam situasi tertekan untuk memburu kemenangan pertama dan melayakkan diri ke pusingan seterusnya, sekali gus memburu kemenangan besar pertama sejak tahun 1993.
Selepas bermula hambar, Tevez dan Ezequiel Lavezzi telah direhatkan tetapi Higuain berjaya menghidupkan kembali corak permainan Argentina dengan bantuan Messi.
Luahan Perasaan