SIR Alex Ferguson dan Arsene Wenger mengakui trofi Liga Perdana England kini bakal menjadi milik Chelsea, ketika skuad Carlo Ancelotti berkelebihan empat mata di tangga teratas, pada baki empat perlawanan terakhir.
Namun, jika Chelsea mengidamkan kegemilangan buat pertama kali sejak 2006, mereka harus beraksi lebih baik di White Hart Lane hari ini, berbanding apa yang dilakukan oleh Arsenal, Rabu lalu.
Kemenangan Tottenham Hotspur 2-1 ke atas Arsenal, menyebabkan Gunner enam mata di belakang pendahulu liga dan lebih malang, harapan kejuaraan skuad Wenger berkecai.
Namun, jika juara bertahan Manchester United mengalahkan Manchester City hari ini pada perlawanan awal, kelebihan Chelsea bakal berkurang kepada satu mata, ketika sepak mula perlawanan di Tottenham.
Chelsea memang menyedari bahawa perbezaan mata amat adalah kecil, selepas mereka hanya menang tipis ke atas Bolton Wanderers 1-0 di Stamford Bridge Selasa lalu dengan ketua pasukan Blues, John Terry, agak bertuah kerana tidak diberikan penalti.
Tumpuan pra perlawanan Terry adalah membantu Chelsea, yang akan berdepan Portsmouth pada perlawanan akhir Piala FA di Wembley bulan depan, untuk menjadi kelab ketujuh England yang memenangi kejuaraan berganda domestik.
“Anda bersaing dan terus bersaing, anda sentiasa memberikan seratus peratus, dan apabila peluang meningkat, anda harus merampasnya.
“Apabila anda merampasnya, anda mampu mencipta sejarah. Kami tidak pernah menang kejuaraan berganda.
“Dalam hidup saya, hanya Liverpool, Manchester United dan Arsenal yang pernah memilikinya. Kami tidak berada pada tahap terbaik ketika menentang Bolton.
”Gugup, selepas kami tidak memenangi Liga Perdana England selama tiga tahun,” kata Terry.
Tottenham dilihat tidak akan memberi laluan mudah buat Chelsea, ketika mereka bersaing sengit dengan Manchester City untuk tempat keempat, slot layak ke saingan Liga Juara-Juara.
Ketika ini, City mengatasi dengan satu mata dan musuh mereka di London, iaitu Tottenham dan Chelsea pasti menyedari apa yang harus mereka lakukan sebelum sepak mula.