KAPTEN The Blues, John Terry menyuarakan keyakinan pasukannya sudah bersedia mencipta sejarah merangkul gelaran berganda selepas menghampiri mahkota kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) ekoran kejayaan menewaskan Bolton 1-0 di Stamford Bridge, semalam.
Chelsea yang menang menerusi jaringan tunggal hasil tandukan Nicolas Anelka minit ke-43 kini dilabel pasukan pilihan hangat untuk mendakap trofi itu sekalipun masih dicabar juara bertahan, Manchester United dan Arsenal.
Namun kekalahan Arsenal di tangan Tottenham awal pagi tadi menyaksikan jurang antara The Gunners dan anak buah Ancelotti semakin melebar kepada enam mata, suatu jurang yang sangat besar melihat kepada saingan EPL hanya tinggal empat perlawanan untuk ditamatkan.
Chelsea kini turut menghala impian bagi kejuaraan berganda selepas layak ke final Piala FA menentang pasukan bermasalah, Portsmouth pada 15 Mei ini di Stadium Wembley.
“Sudah wujud semangat sepasukan tinggi di kalangan pemain dan kami kini ada peluang mencipta sejarah. Kami ada azam besar menyempurnakan misi besar ini selepas kemenangan hari ini (kelmarin).
“Kami belum lagi memenangi liga sejak tiga tahun lalu tetapi kami sudah memenangi Piala FA dua kali. Apa yang akan menjadi unik jika kami memenangi kedua-dua gelaran ini pada satu musim yang sama.”
“Sepanjang hayat saya hanya Liverpool, Manchester United dan Arsenal berjaya dan apabila peluang seperti ini menyusul anda harus mengaut dan cipta sejarah,” kata Terry.
Sementara itu, pengurus pasukan, Carlo Ancelotti menegaskan Chelsea tidak akan hilang haluan apabila pemburuan panjang mengejar mahkota EPL kini memasuki peringkat terakhir.
“Kami ada lebih peluang berbanding Manchester United dan Arsenal (untuk menjuarai gelaran) tetapi kami tidak mahu terlalu pasti.
“Kami mempunyai empat perlawanan sukar selepas ini. Kami bertemu Tottenham Sabtu ini. Kami sudah bersedia dan tidak sabar. Kami sedar kami perlu berjuang dan kami sudah bersedia,” katanya.