Mampukah Carlos Tevez menyinar dalam aksi menentang Manchester United?

ROQUE Santa Cruz yakin rakan sepasukannya di Manchester City, Carlos Tevez mempunyai sesuatu untuk dibuktikan, apabila penyerang Argentina itu bertemu bekas kelabnya Manchester United, hari ini.

Tevez dilepaskan secara kontroversi oleh bos United, Sir Alex Ferguson sebelum bermula saingan musim ini.

Namun, tahap tumpuan penyerang antarabangsa Argentina itu tidak pernah tersasar, apabila dia menjaringkan 28 gol untuk City setakat ini.

Prestasi baik Tevez berjaya melonjakkan City ke tangga keempat Liga Perdana England, sekali gus memberi harapan buat kelab itu, untuk beraksi pada saingan Liga Juara-Juara, musim depan.

Penyerang City itu berjaya menghasilkan jaringan pada dua perlawanan separuh akhir Piala Liga ke atas United, awal musim ini.

Bagi United, kemenangan hari ini sangat penting kerana mahu mengurangkan perbezaan kepada hanya satu mata dengan pendahulu liga, Chelsea, sebelum Blues turun menentang Tottenham, kemudiannya.

Namun, Santa Cruz yakin Tevez berada pada tahap terbaik untuk memberi ancaman kepada anak didik Ferguson.

“Carlos Tevez telah mempamerkan persembahan mengkagumkan sepanjang musim ini.

“Dia berjaya menghasilkan dua jaringan dan juga hatrik dalam satu-satu perlawanan. Namun, perlawanan menentang United adalah perlawanan penting buat dirinya.

“Malah, dia juga pasti mahu membuktikan bahawa dirinya adalah terbaik ketika menentang United, sekali gus merosakkan harapan United untuk memburu kejuaraan liga.

“Perlawanan ini akan menjadikan segalanya lebih menarik. Secara fakta, mereka bermain untuk memburu kedudukan terbaik liga, manakala kami pula memburu kemenangan bagi mengesahkan tempat keempat liga,” kata penyerang antarabangsa Paraguay, Santa Cruz.

Dalam pada itu, pemain veteran United, Ryan Giggs menegaskan pasukannya sedikit kecewa.

“Kami hanya perlu bangkit daripada kesedihan yang berlaku dalam tempoh beberapa minggu lalu dan kami sebenarnya tidak pernah berputus asa,” kata pemain sayap United, Giggs.

Leave a Reply