Rekod 100 peratus kemenangan Manchester United dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini lebur apabila mencatat keputusan seri 0-0 menentang Newcastle di Old Trafford, malam tadi.
Sekalipun tampil dengan aksi dominasi, MU yang memperoleh beberapa peluang terbaik gagal menerjah gawang Newcastle yang dikawal cemerlang Tim Krul.
Selain itu, MU turut dikecewakan apabila gol kapten, Wayne Rooney dibatalkan akibat ofsaid dengan pengendali, Louis van Gaal memberikan Bastian Schweinsteiger penampilan sulungnya di EPL.
Kecewa dengan keputusan babak pertama, Van Gaal melakukan penukaran pemain pada babak kedua namun Krul jelas berada di prestasi terbaik apabila turut menafikan cubaan Javier Hernandez dan Chris Smalling.
Pemain baru Newcastle, Florian Thauvin hampir meledak gol pada babak pertama namun cubaannya turut tersasar.
“Kami boleh berpuas hati dengan prestasi namun bukan dengan keputusan. Kami tidak bernasib baik,” kata pengurus MU, Van Gaal.
“Kami tidak melakukan pilihan yang tepat pada penghujung permainan, namun kami bermain dengan cemerlang sebagai satu pasukan. Saya gemar dengan perlawanan seperti ini apabila kami bekerja seperti ini, namun bukan keputusannya.”
Man United mencatat kemenangan 1-0 pada kedua-dua perlawanan awal liga menentang Tottenham Hotspurs dan Aston Villa.
Ia diteruskan dengan kemenangan 3-1 ke atas Club Brugge pada aksi play-off Liga Juara-Juara Eropah manakala Newcastle terus gagal memburu kemenangan selepas tiga perlawanan liga.