MANCHESTER United memulakan saingan musim baru Liga Perdana England dengan penuh bergaya. [LAGI LAPORAN]

Skuad bimbingan Alex Ferguson itu menjuarai Piala Perisai Komuniti selepas menewaskan juara bertahan, Chelsea 3-1 di Stadium Wembley malam tadi.

Jaringan Antonio Valencia pada minit ke-41, Javier Hernandez (76) dan Dimitar Berbatov (90) sudah cukup memberikan United langkah kanan dalam misi mereka kali ini.

Begitupun, Chelsea tidak mudah mengaku kalah dan cuba memberi tentangan yang hebat tetapi memperoleh gol sagu hati menerusi Salomon Kalou pada minit ke-83.

Lebih manis, kejayaan The Red Devils ini juga dilihat sebagai amaran awal mereka dalam misi mereka merampas semula gelaran Liga Perdana England daripada The Blues.

Pertembungan dua pencabar utama itu semalam banyak didominasi oleh United yang menurunkan dua pemain baru, Hernandez dan pertahanan Chris Smalling.

Manakala Chelsea yang merupakan juara berganda selepas memenangi gelaran liga dan Piala FA dilihat gagal mencari rentak meskipun menggunakan khidmat bekas perancang Liverpool, Yossi Benayoun dan penyerang Ivory Coast, Didier Drogba.

Ini adalah kali ketiga dalam masa empat tahun United berjaya menjulang gelaran Piala Komuniti selepas tahun 2007 dan 2008.

Kekalahan ini pula merupakan tamparan baru buat pengurus The Blues, Carlo Ancelotti dalam misi mempertahan kejuaraan menjelang aksi pembuka musim 2010/11 pada Sabtu ini.

Leave a Reply