KETIKA impian Liverpool untuk mencabar kejuaraan kelihatan sudah berakhir, penyerangnya Fernando Torres memasang impian peribadi untuk memecahkan rekod di Anfield.
Pemain kelahiran Sepanyol itu sudah melakar sejarah awal di Anfield dengan kehebatannya menjaringkan gol demi gol buat pasukan Merseyside itu.
Gol kemenangan dramatik pada lewat permainan ketika kemenangan 1-0 The Reds di Aston Villa baru-baru ini menjadikannya pemain terpantas untuk menjaringkan 50 gol liga dalam sejarah kelab itu, hanya memerlukan 72 perlawanan untuk melakukannya.
Torres mengakui dia teruja untuk menyertai senarai pemain hebat Liverpool, tapi berharap dia akan mempunyai lebih banyak peluang untuk meraikan kejayaan pada masa depan.
“Ia memang menakjubkan buat saya kerana Liverpool bukannya sebuah kelab kecil, ia adalah salah satu kelab terbesar dan paling bersejarah di dunia,” kata peledak berusia 25 tahun itu.
“Semua pemain yang pernah beraksi di sini adalah pemain utama yang menjaringkan banyak gol. Mereka mempunyai rekod yang besar. Saya mengatasi mereka menerusi rekod ini dan bagi saya, ini adalah satu perkara paling penting saya lakukan dalam karier saya.
“Saya mahu terus memecahkan rekod ini jadi saya akan sering berada dalam buku rekod serta memori setiap orang.
“Saya hanya melakukan tugas saya dan saya mahu terus memecahkan rekod serta menggembirakan semua orang.” Torres sudah menjaringkan 12 gol musim ini, di sebalik mengalami kecederaan berulang, namun dia menegaskan membantu Liverpool untuk memastikan layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan lebih penting daripada menunaikan sasaran peribadi.
“Saya mahu menjaringkan sebanyak gol yang mungkin untuk meraih tempat keempat liga dan memenangi Piala FA,” katanya.
“Saya tidak pernah menyatakan jumlah gol tapi saya sering kali mahu menjaringkan lebih banyak gol daripada musim sebelumnya. Harapnya ia tidak sukar kerana saya hanya menjaringkan 17 gol musim lalu selepas kecederaan.”
Tugas Torres bagaimanapun kelihatan getir apabila Liverpool menerima kunjungan pasukan di tangga keempat, Tottenham Hotspur pada perlawanan tumpuan minggu ini di Stadium Anfield hujung minggu ini.