JARINGAN separuh masa pertama oleh Yossi Benayoun dan David Ngog serta gol sendiri daripada Robert Green membolehkan Liverpool meraih kemenangan 3-0 kelmarin ke atas pasukan bergelut, West Ham.
The Reds berada lima mata ketinggalan dengan pasukan tempat keempat, Tottenham, yang memiliki satu perlawanan dalam tangan, tetapi mereka melanjutkan rentetan tanpa kalah di Anfield kepada 10 perlawanan dan ia umpama pemanas badan bagi separuh akhir pertama Liga Europa di Atletico Madrid.
West Ham gagal memenangi sebarang perlawanan di tempat lawan sejak minggu pembukaan musim dan kekal hanya tiga mata di atas zon bahaya dengan baki tiga perlawanan.
Tetapi jurulatih, Gianfranco Zola menafikan kekalahan itu akan menjejaskan moral dengan memberitahu ESPN: “Kami baru mengadakan perbincangan dalam bilik persalinan dan saya tidak bimbang langsung. Tiada masalah.
“Kami bermula dengan baik. Kami agak selesa di atas padang. Kami menghadapi masalah dengan bola mati - kebiasaannya kami tahu bagaimana untuk menanganinya tetapi tidak hari ini.
Malang buat pelawat apabila Carlton Cole menyapu ais ke lututnya selepas dikeluarkan.
Tuan rumah mendahului pada minit ke-19 berikutan sepakan percuma Steven Gerrard dari kanan. Kapten Liverpool itu melencongkan set piece di belakang pertahanan West Ham dan bola itu bergolek masuk selepas terkena dada Benayoun.
Mereka berjaya menggandakan kelebihan apabila Benayoun menolak ke sisi dengan Rodriguez menunggu. Pemain Argentina itu melintangkan bola buat Ngog, yang berada di depan Matthew Upson, dan meledakkan rembatan padu melepasi Green.
Satu lagi gol dihadiahkan oleh pertahanan goyah pelawat. Gerrard melambungkan sepakan percuma dari kiri dan Kyrgiakos menewaskan Upson hanya untuk menyaksikan bola itu bergolek melepasi Green.