LIMA minggu selepas harapan bersaing untuk kejuaraan Liga Perdana Inggeris seakan musnah apabila tewas 3-0 kepada Chelsea di gelanggang sendiri, Arsenal kini mampu bangkit semula dengan merapatkan jurang kepada hanya satu mata dengan kelebihan satu permainan di tangan.

Skuad kendalian Arsene Wenger sebelum ini ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu, Chelsea dan enam mata daripada Manchester United tetapi mereka pantas memulihkan keadaan dengan mencatat lima kemenangan dan satu seri pada Disember lalu.

Harapan mengurangkan jurang mata kepada satu dengan pendahulu pada Rabu lalu terbantut apabila perlawanan di gelanggang sendiri menentang Bolton Wanderers ditunda akibat salji tebal. The Gunners kini hanya dua mata di belakang United dan empat daripada Chelsea dengan satu perlawanan kurang daripada kedua-dua pasukan teratas itu.

Kemenangan di gelanggang sendiri ke atas Everton, esok akan mengekalkan momentum Arsenal, manakala Chelsea akan berkunjung ke Hull City dan Manchester United berangkat ke Birmingham untuk menamatkan rekod 12 permainan tanpa kalah pasukan itu.

“Kami tidak akan mengalah. Kami akan meneruskan perjuangan dan yakin dengan kekuatan kami,” kata Wenger.

“Ujian terbesar ialah kekuatan mental dan ketahanan pemain-pemain. Itu sudah diuji. Kami kini laparkan kejayaan dan semangat berpasukan yang tinggi.

“Kami adalah pasukan yang membesar bersama, kami mahu mencapai sesuatu. Setakat ini belum ada pencapaian besar dan itu membuatkan kami laparkan kejayaan.”

Arsenal sebelum ini membelasah Everton 6-1 di Goodison Park dalam perlawanan pembukaan musim yang menakjubkan tetapi permainan The Toffees semakin mantap sejak kekalahan itu dan kini belum pernah tewas dalam lima perlawanan terakhir liga.

Sementara itu persaingan merebut tangga keempat akan berlangsung pada Ahad antara penghuninya sekarang, Tottenham Hotspur yang berkunjung ke Anfield untuk bertemu Liverpool yang terdesak mahu menempah tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.

Leave a Reply