Sir Alex Ferguson mengucapkan tahniah kepada Manchester City sebagai juara baru Liga Perdana Inggeris namun mengingatkan jiran mereka itu bahawa perjalanan mereka masih terlalu jauh sebelum boleh menyamai taraf Manchester United.

Pengurus United itu membandingkan reputasi dan sejarah kegemilangan United dengan City, yang menjulang kejuaraan liga pertama kali selepas 44 tahun.

“City boleh meraikan kejayaan ini sesuka hati mereka, tetapi akhirnya sejarah kelab ini membezakan kami dengan mereka.

“Kami tidak perlu bimbang mengenai kejayaan mereka. Kami mempunyai sejarah yang kaya, lebih baik berbanding sesiapa dan City memerlukan satu kurun untuk menyamai tahap sejarah kami,” kata Fergie.

Walaupun usianya sudah menjangkau 70, Ferguson masih memiliki kesungguhan untuk menjadi orang yang akan menafikan City daripada mengulangi kejayaan kelmarin pada musim depan.

“Kami menerima apa jua cabaran, kami bagus dalam aspek ini,” ujar Ferguson selepas menyaksikan pasukannya menang 1-0 di Sunderland kelmarin namun tidak memadai untuk merampas kejuaraan daripada City.

Ferguson akur akan kejayaan City dengan berkata: “Bagi pihak Manchester United, saya ingin mengucapkan tahniah kepada jiran kami.

“Ia adalah satu pencapaian menakjubkan. Liga ini bukan mudah. Ia merupakan liga paling sukar di dunia ini dan sesiapa yang menang berhak meraihnya.

“Pada permulaan musim, seingat saya, saya pernah berkata bahawa 82 mata mungkin cukup untuk memenangi liga musim ini dan kami mendapat tambahan tujuh mata dari itu. Namun lihat, ia tidak mencukupi, kami kecundang.

“Ia cara yang kejam apabila kejuaraan disambar musuh, namun saya pernah melalui pelbagai situasi baik buruk sepanjang 25 tahun di sini.”

Leave a Reply