Manchester City Juara EPL 2012

Pengurus Manchester City, Roberto Mancini menganggap kejayaan pasukan itu merangkul kejuaraan Liga Perdana England musim ini sebagai sesuatu yang menakjubkan.

Skuad The Citizens berdepan satu perlawanan penuh dramatik ketika menentang Queens Park Rangers (QPR) pada aksi terakhir liga sebelum berjaya mencatat kemenangan 3-2 di Stadium Etihad.

Dua gol yang dijaringkan Edin Dzeko dan Sergio Aguero pada masa kecederaan menyaksikan City menamatkan kemarau selama 44 tahun untuk muncul Juara EPL 2011/2012.

Meskipun berkongsi 89 mata dengan pencabar terdekat, Manchester United, City lebih layak dinobatkan selaku juara apabila memiliki kelebihan empat gol, sekali gus unggul di tangga teratas liga.

United pula sekadar menamatkan saingan di tangga kedua biarpun berjaya mencatat kemenangan 1-0 ke atas Sunderland dalam satu lagi pertemuan di Stadium of Light kelmarin.

“Ia adalah satu penamat yang menakjubkan bagi kami (City). Saya tidak pernah melihat perlawanan terakhir liga seperti ini.

“Pasukan terbaik berhak untuk bergelar juara. Saya rasa, kami telah mempamerkan corak permainan terbaik musim ini dan kami berjaya menjaringkan banyak gol serta menewaskan United se- banyak dua kali.

“Apabila kamu berjaya menewaskan United sebanyak dua kali dan memiliki kelebihan gol, kamu memang berhak untuk bergelar juara.

“Saya sangat bangga dengan barisan pemain City. Mereka memang bercita- cita tinggi dan bekerja keras untuk mencapai kejayaan ini,” kata Mancini.

Pada aksi penuh dramatik kelmarin, City terlebih dahulu di depan selepas Pablo Zabaleta membuka tirai jaringan pada minit ke-39 sebelum Djibril Cisse menyamakan kedudukan sembilan minit kemudian (ke-48).

Jamie Mackie menceriakan penyokong QPR apabila meletakkan pasukan itu di depan hasil jaringan pada minit ke-66.

Ketika perlawanan dilihat bakal menyebelahi QPR, City seolah-olah mendapat semangat luar biasa apabila berjaya meledak dua gol dalam tempoh lima minit pada masa kecederaan.

Leave a Reply