SENTUHAN pertama Roberto Mancini mencetus ceria buat Manchester City ketika memimpin anak didiknya mengatasi Stoke City 2-0 pada hari yang menyaksikan Chelsea terlepas peluang mendahului carta Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kelebihan tujuh mata selepas hanya mampu seri 0-0 selepas menentang Birmingham di gelanggang lawan, malam tadi.

Dua gol babak pertama oleh Martin Petrov dan Carlos Tevez mengesahkan tiga mata untuk City dan kehilangan Mark Hughes seolah-olah tidak dirasai, sebaliknya penyokong mula memuji congakan jurulatih berbangsa Itali itu buat menghela nafas lega.

Anak didik Carlo Ancelotti pula jelas mencipta banyak peluang pada babak kedua tetapi menyedihkan jentera serangan mereka terus tumpul dan kini hanya memenangi satu daripada lima perlawanan liga yang lalu ketika menewaskan Portsmouth gara-gara jaringan penalti pada lewat babak permainan.

Pasukan bergelar The Blues itu kini berada lima mata di hadapan juara bertahan, Manchester United yang boleh mengurangkan defisit itu kepada dua mata andai dapat menewaskan Hull, hari ini manakala pasukan tempat ketiga, Arsenal menentang Aston Villa.

Dalam perlawanan lain, Tottenham seri 0-0 ketika menentang Fulham, West Ham menewaskan Portsmouth 2-0, Wigan seri 1-1 menentang Blackburn manakala Sunderland turut seri 1-1 ketika menentang Everton.

Birmingham jelas kurang bernasib baik tidak mendahului pada babak pertama ketika menentang Chelsea - barisan yang menggandingkan Daniel Sturridge dan Didier Drogba untuk menggempur kubu lawan.

Penyerang Birmingham, Christian Benitez hampa apabila jaringannya dibatalkan kerana ofsaid dan kemudian satu lagi turut dibatalkan oleh penjaga garisan yang sama ketika Drogba terbaring di atas padang kelihatan seperti mengalami kecederaan.

Usaha terbaik Chelsea hadir pada akhir babak pertama apabila percubaan pemain bek, Alex hasil sepakan percuma terkena tiang dari jarak 35 meter.

Leave a Reply