CHELSEA mensia-siakan peluang untuk menjarakkan diri lebih selesa sebagai pendahulu Liga Perdana England apabila hanya mampu seri 0-0 dengan Birmingham City, semalam.
Biar pun kini memiliki kelebihan lima mata sahaja berbanding pencabar terdekat, Manchester United, skuad bimbingan Carlo Ancelotti itu sepatutnya tidak menghadapi masalah untuk berada tujuh mata jika menang.
Namun, itu tidak menjadi kenyataan apabila Birmingham yang kini menghuni tangga ketujuh liga memberikan tentangan sengit untuk mengikat kedudukan hingga tamat permainan.
Malah, Chelsea bernasib baik kerana biar pun beraksi 10 pemain selepas Florent Malouda dibuang padang, Birmingham gagal mengambil kesempatan itu untuk mencipta jaringan.
Chelsea sering mengasak sepanjang perlawanan tetapi mendapati penjaga gol Birmingham, Joe Hart terlalu liat untuk ditembusi.
Birmingham turut tidak bernasib baik apabila jaringan Christian Benitez pada babak pertama dibatalkan pengadil kerana ofsaid.
Dengan keputusan ini, Chelsea terus dirundung malang kerana hanya mencatat satu kemenangan dalam lima perlawanan liga terbaru mereka.
Sementara bagi Birmingham, keputusan seri itu bermakna mereka mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 10 perlawanan.
Jika United menang ke atas Hull City hari ini, Chelsea hanya bakal memiliki kelebihan dua mata sahaja sebelum saingan memasuki tahun baru 2010.