Kemaskini: Arsenal kembali ke kedudukan ketiga Liga Perdana Inggeris selepas Manchester United menang 3-1 ke atas Hull City dalam perlawanan yang berakhir awal pagi.

ARSENAL mempamer aksi mantap ketika menewaskan Aston Villa 3-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates, malam tadi.

Dua gol sumbangan ketua pasukan, Cesc Fabregas dan satu lagi menerusi Abou Diaby membolehkan The Gunners naik ke tangga kedua liga buat sementara waktu dengan 38 mata, satu mengatasi Manchester United yang bakal mengambil alih semula kedudukan berkenaan jika dapat menundukkan Hull City dalam perlawanan bermula lewat malam.

Fabregas yang masuk menggantikan Denilson meletakkan pasukan di hadapan dengan rembatan padu hasil sepakan percuma pada minit ke-65 dari penjuru kotak penalti yang menyaksikan bola melencong melepasi jangkauan penjaga gol, Brad Friedel.

Dengan permainan berbaki sembilan minit, pemain antarabangsa dari Sepanyol itu meluru menyambut umpanan daripada Theo Walcott sebelum tenang menyepak masuk untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Arsenal menambah derita lawan dengan gol ketiga menerusi Abou Diaby pada minit terakhir permainan.

Leave a Reply