WAYNE Rooney terbabit dalam semua empat gol ketika juara bertahan, Manchester United, menang 3-1 ke atas Hull City di tempat lawan, awal pagi tadi.
Kemenangan itu membolehkan United mengecilkan jurang dengan pendahulu liga, Chelsea kepada hanya dua mata selepas skuad Carlo Ancelotti itu sekadar seri tanpa jaringan dengan Birmingham dalam perlawanan sehari lebih awal.
Rooney meletakkan United di hadapan sejurus sebelum rehat di Stadium KC dengan penyudahan jarak dekat selepas Ryan Giggs menghalakan hantaran Darren Fletcher.
Namun pasukan di tangga kedua tercorot itu menyamakan kedudukan selepas sejam perlawanan menerusi sepakan penalti Craig Fagan.
Hantaran ke belakang Rooney disambar Fagan dan Jozy Altidore yang menyambut hantaran silangnya dalam kotak penalti, dijatuhkan pemain pertahanan United, Rafael.
Pengadil Alan Wiley yang dituduh pengurus United, Sir Alex Ferguson, sebagai tidak layak mengadili perlawanan Liga Inggeris selepas keputusan seri 2-2 dengan Sunderland Oktober lalu, memberikan sepakan penalti buat tuan rumah pada minit ke-59.
Fagan kemudian mudah memperdaya penjaga gol United, Tomasz Kuszczak, yang merebah badan ke arah bertentangan untuk gol penyamaan.
Namun Rooney menebus kesilapan dengan hantaran silang cantik yang mana Andy Dawson menampan masuk ke gawang sendiri pada minit ke-73.
Beliau kemudian melorongkan bola kepada rakan penyerang dari Bulgaria, Dimitar Berbatov untuk menolak mudah ke gol lawan lapan minit sebelum wisel penamat.
Chelsea berada di tangga teratas liga dengan 42 mata, United mengekori di belakang dengan 40 mata diikuti Arsenal (38). Begitu pun skuad The Gunners masih mempunyai baki satu perlawanan dalam tangan berbanding dua pasukan pencabar berkenaan dan mampu memintas United jika berjaya mengekal prestasi cemerlang mereka.
Minggu lalu Arsenal menang 3-0 ke atas Hull City, manakala Chelsea sekadar seri 1-1 dengan Birmingham. United pula tumpas 3-0 di tangan Fulham.
United akan menentang Wigan pada perlawanan lusa (awal pagi Khamis) sebelum berhadapan Leeds United dalam aksi Piala FA 3 Januari ini.
Pada hari yang sama Arsenal berhadapan dengan Portsmouth bagi aksi liga manakala West Ham menjadi pencabar mereka bagi perlawanan Piala FA.
chelsea pula yang hanya menang sekali dalam lima perlawanan terakhir liga akan turun berhadapan Fulham di tempat sendiri malam ini sebelum menanti kunjungan Watford di pusingan ketiga Piala FA 3 Januari ini.