KUALA Lumpur memaksa Negeri Sembilan mengucapkan selamat tinggal lebih awal kepada Piala FA 2011 apabila menundukkan juara bertahan menerusi penentuan penalti 4-2 dalam pusingan kedua, semalam.
Tuan rumah gagal menyudahkan dua sepakan itu menerusi Abdul Halim Zainal dan G Mahathevan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban selepas terikat tanpa jaringan dengan pelawat.
Felda United turut mencipta kejutan besar dengan menumbangkan naib juara musim lalu, Kedah 1-0 pada pusingan kedua di Stadium Darul Aman, Alor Setar, semalam.
Jaringan Hasmarul Fadzil pada minit ke-81 memastikan tiket suku akhir buat satu-satunya pasukan kelab biarpun mereka beraksi sebagai ‘tuan rumah di gelanggang lawan’ kerana larangan penggunaan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Turut mara ke suku akhir ialah Pahang yang bangkit daripada ketinggalan gol Ahmad Shahril Zakaria untuk menundukkan PKNS 3-1 dengan jaringan Fazli Baharuddin dan dua gol Famirul Asraf Sayuti di Stadium Petaling Jaya.
Perak tidak ketinggalan meneruskan kemaraan dengan menewaskan Sime Darby 3-0 di Stadium Perak hasil gol Mohd. Nor Hasrul, Razali Umar Kandasamy dan Akmal Rizal Rakhli dalam tempoh 10 minit terakhir.
Juara 2009, Selangor pula menyekat kegarangan Harimau Muda B menerusi jaringan Razman Roslan dan Amirulhadi Zainal pada minit ke-34 dan 38 di Stadium Shah Alam sebelum dirapatkan D. Saarvindran, minit ke-67.
Ketua pasukan, Badhri Radzi pula memimpin Kelantan ke suku akhir dengan jaringan minit kesembilan selepas menanduk umpanan silang Norshahrul Idlan Talaha untuk menghampakan Johor FC 1-0 di Stadium JCorp, Pasir Gudang.
Main topics: Piala FA
Sub topics: Kuala Lumpur, Liga Malaysia, Negeri Sembilan, Piala FA 2011
apo kono jang!!!!!!!!