HASIL mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM hari ini memutuskan untuk meminda beberapa jadual membabitkan venue dan tarikh perlawanan beberapa pasukan.
Perubahan itu menyaksikan perlawanan timbal balik separuh akhir Piala FA dipinda ke tarikh baru 12 Mei, iaitu sehari lebih awal daripada jadual asal manakala pertemuan kedua pula 15 Mei.
Bagaimanapun masa dan venue perlawanan dikekalkan.
Saingan separuh akhir pertama menyaksikan Terengganu akan menanti kunjungan Pahang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu sementara Kelantan bertemu Selangor di Kota Bharu.
FAM turut mengumumkan Pahang akan kekal beraksi sebagai tuam rumah di Stadium Darul Makmur sepanjang April dan Mei ini.
Perlawanan-perlawanan membabitkan Pahang di Kuantan termasuklah bertemu Terengganu (6 April), Johor FC (12 April), Negeri Sembilan (19 April) dan Felda United (3 Mei).
Begitu juga dengan jadual Terengganu menentang Selangor di Kuala Terengganu pada 29 April.
Bagi Liga Perdana pula, semua perlawanan membabitkan Johor sebagai tuan rumah akan menggunakan Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, Larkin untuk perlawanan menentang PKNS FC (1 April), Harimau Muda B (15 April), Sarawak (18 April), Sime Darby FC (22 April) ATM (29 April), PDRM (2 Mei), Pulau Pinang SDM Navy (23 Mei) dan Pulau Pinang (1 Julai).
Dua perlawanan pasukan lain pula PDRM menentang PKNS FC di Paroi dan MP Muar FC bertemu Johor di Stadium Jcorp Pasir Gudang pada 10 Mei.
Main topics: Piala FA
Sub topics: Liga Super 2011, Piala FA 2011