Azraai ganti Wan Jamak jurulatih baru Negeri Sembilan

“SAYA akan berusaha memulihkan kembali maruah Negeri Sembilan.”

Itulah tekad Mohd Azraai Khor Abdullah sebaik dia disahkan sebagai ketua jurulatih pasukan Liga Super, Negeri Sembilan bagi menggantikan Wan Jamak Wan Hassan yang meletak jawatan, 17 Mac lalu.

“Saya akan meneliti persembahan pemain dalam perlawanan persahabatan menentang Polis di Paroi, malam ini sebelum merangka strategi terbaik dalam mengembalikan semula kebangkitan pasukan,” kata Azraai yang mengikat kontrak selama dua tahun dengan Skuad Hoben Jang Hoben bermula semalam.

Azraai berkata dia tertarik menerima tawaran Negeri Sembilan kerana komitmen tinggi pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) terutama Menteri Besar merangkap Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hassan terhadap pasukan.

Azraai, Bekas jurulatih Kedah dan skuad kebangsaan dipilih menggantikan Wan Jamak Wan Hassan dalam usaha memulihkan maruah tercalar selepas beberapa siri keputusan yang mengecewakan dalam saingan Liga Super awal musim ini.

Pengurusan PBNS beranggapan rekod cemerlang Azraai sepanjang membimbing Kedah sebelum ini boleh mengembalikan semula kemantapan pasukan ke tahap asal seperti ditagih penyokong negeri.

Pengendali berusia 59 tahun itu meninggalkan skuad Kedah pada 2009 sebelum dilantik selaku jurulatih skuad Bawah 21 Tahun kebangsaan.

Tampaknya apa dinilai PBNS bukan semata-mata rekod Azraai di pentas antarabangsa, tetapi melihat dia memiliki sentuhan emas dalam pentas domestik yang terbukti apabila membimbing Kedah menjuarai gelaran treble pada musim 2006/2007 dan 2007/2008.

Main topics: Liga Super

Sub topics: , , ,


Readers Comments (0)