Sunday, 14/04/2013


Selangor mahu manfaat kelebihan awal

Published on October 11, 2010 by   ·   No Comments

Hamidin gesa penyokong Selangor penuhi Stadium Shah Alam

SELANGOR mahu menggunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk membenam naib juara musim lalu, Kelantan pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam esok.

Justeru, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd Amin menggesa para penyokong Red Giants hadir beramai-ramai ke stadium supaya sorakan mereka tidak ditenggelami penyokong lawan.

“Kita tahu penyokong Kelantan memang ramai di Lembah Klang ini. Jadi saya harap penyokong Selangor sendiri akan turun bagi memberi semangat kepada para pemain kita.

“Selangor memerlukan kemenangan selesa pada perlawanan pertama ini supaya kita boleh tampil lebih yakin pada perlawanan kedua di Kota Bharu, Jumaat ini,” katanya.

Bagi memastikan tiada kesesakan berlaku di kaunter tiket malam esok, Hamidin memberitahu, pihak FAS akan menjual tiket perlawanan tersebut bermula pukul 9 pagi esok sehinggalah ke hari perlawanan.

“Saya harap para penyokong Selangor mahu pun Kelantan yang berada di sekitar Shah Alam dapat membeli tiket lebih awal. Harga tiket masih sama iaitu RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak bawah 12 tahun.

“Pada masa yang sama, kita turut menjual tiket berharga RM5 bagi perlawanan Selangor bertemu Singapura untuk Piala Sultan Selangor 2010 yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam, Sabtu ini,” jelas Hamidin.

Selangor layak ke suku akhir selaku juara Kumpulan D selepas menang kesemua enam perlawanan untuk mengutip 18 mata maksimum tetapi Hamidin mahu para pemain mengambil iktibar tragedi musim lalu.

“Musim lalu juga kita mudah menjuarai saingan peringkat kumpulan tetapi akhirnya terkandas di suku akhir selepas tewas menerusi sepakan penalti kepada Terengganu.

“Jadi saya harap semua pemain sudah mengambil iktibar apa yang berlaku itu dan bersiap sedia dari segi fizikal dan mental untuk menyingkirkan Kelantan,” tegasnya.

Pada aksi Liga Super musim ini, Selangor dan Kelantan terikat tanpa jaringan di Kota Bharu sebelum turut seri 1-1 pada perlawanan pusingan kedua di Shah Alam.

KOSMO




Related posts

coded by nessus

Tags: , , ,

Readers Comments (0)




Latest News