“KAMI akan bermain macam biasa saja. Kami hanya akan tumpu pada aksi di tengah padang dan tidak sesekali akan terpengaruh dengan provokasi penyokong tuan rumah.”
Demikian janji kapten Selangor, Amri Yahyah bagi memastikan pasukannya berjaya menyingkirkan Kelantan pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam ini.
Aksi suku akhir pertama di Stadium Shah Alam, Selasa lalu berakhir dengan keputusan seri 0-0 dan Selangor hanya perlu menang atau sekurang-kurangnya seri 1-1 malam ini untuk layak ke separuh akhir bertemu Kedah atau Terengganu.
Amri, 29, berkata, tiada apa yang perlu digentarkan barisan Gergasi Merah apabila beraksi di stadium keramat Kelantan itu kerana telah terbukti The Red Warriors sebenarnya tidaklah begitu kebal di laman sendiri musim ini.
“Jika kita lihat, Negeri Sembilan boleh menang 1-0 di sana. KL Plus pula boleh seri 3-3 di sana. Jadi tiada apa yang perlu ditakutkan sangat.
“Cuma apa yang penting, kami perlu menjaringkan gol. Cari gol awal untuk membuatkan Kelantan lebih tertekan di hadapan penyokong mereka.
“Walaupun tiada penyokong Selangor akan hadir ke Kota Bharu, kami semua tahu mereka tetap memberikan sokongan kepada kami dengan menontonnya di kaca televi- syen,” kata Amri sebelum berlepas ke Kota Bharu petang semalam.
Namun, skuad bimbingan K Devan itu bakal turun tanpa pemain pertahanan kiri, P Gunalan yang digantung akibat kad merah pada Selasa lalu serta pemain pertahanan kanan, Razman Roslan yang mengalami keretakan tulang pipi kanannya pada perlawanan tersebut.
Amri yang akan bergandingan dengan Safee Sali di bahagian serangan Selangor malam ini menambah: “Semua pemain bertekad untuk memastikan kegagalan kami tersingkir di tangan Terengganu pada suku akhir musim lalu tidak akan ber- ulang.”
KOSMO
Tags: Kelantan-Selangor, Piala Malaysia 2010, Selangor, Suku Akhir