BIARPUN berjaya membawa Kelantan menjuarai Piala Malaysia buat kali pertama, B. Sathianathan belum pasti masa depannya bersama skuad The Red Warrios itu ekoran kes penggantungan enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini.
Tanpa mahu memikirkan mengenai apa yang akan berlaku selepas ini, dia sudah menemui Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa bagi menyatakan hasrat mengambil cuti sementara waktu sebelum musim baru bermula.
”Buat masa ini pendek kata tiada sebarang perbincangan mengenai sambungan kontrak dengan KAFA.
”Saya tidak boleh bercakap apa-apa kerana selagi kes saya bersama FAM belum selesai, selagi itu sukar untuk perkatakan mengenai masa depan saya bersama skuad Kelantan.
”Hukuman enam bulan bukannya sekejap dan saya rasa situasi itu akan memberi kesan kepada kontrak saya, terpulanglah kepada Tan Sri (Annuar Musa) dan KAFA jika hukuman tersebut dikekalkan, ” katanya pada sidang media selepas perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Bukit Jalil, kelmarin.
Sathia pada awalnya diarah tidak berada di bangku simpanan pemain dalam final Piala Malaysia oleh Lembaga Disiplin FAM kerana mengkritik badan bola sepak kebangsaan itu.
Jawatankuasa Rayuan bagaimanapun bersetuju menangguhkan hukuman sehingga ahli jawatankuasa itu bersidang kembali.
Sementara itu, Sathia melahirkan rasa bangga kerana membentuk Kelantan menjadi pasukan yang lebih berdisiplin selepas mengambilalih jawatan jurulatih.
”Dahulu orang luar selalu melabelkan Kelantan sebagai pasukan ‘kaki gaduh’ dan tidak berdisiplin sepanjang perlawanan.
”Tetapi ia tidak lagi berlaku sejak saya menjadi jurulatih di sini, anda boleh lihat dalam 13 bulan lalu, Kelantan hanya mengutip dua kad merah dan itu merupakan satu rekod disiplin yang baik.
”Malah, Tan Sri Annuar sendiri bukan saja gembira dengan tahap disiplin pasukan, malah teruja kerana kami berjaya menerap gaya permainan bola sepak yang baik dalam memburu kemenangan, ” katanya.
Utusan Malaysia
Tags: B Sathianathan, Final Piala Malaysia 2010, Kelantan, Piala Malaysia 2010
Eleh…Kelantan menang pun nasib baik jer…Itupun sbb pasukan N.Sembilan kehilangan pemain tonggak yang x dpt bersama atas sbb2 tertentu!Takpe…tahun 2011 nnt bakal menyaksikan Piala Malaysia menjadi milik N.S sekali lg…